Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Sesi “Jalan dan Ingatan” yang berlangsung pada petang ini di Bangunan U.A.B. bersempena dengan Georgetown Literary Festival 2024 (GTFL24) memperlihatkan kepada umum bahawa kuasa bahasa dan pengalaman pengarang yang disatukan dalam karya mampu memberikan inspirasi sekali gus membentuk masyarakat.
Sesi tersebut menampilkan barisan penulis puisi tempatan seperti Hafiz Hamzah, Qurratul ‘Ain dan Abdullah Hussaini yang berkongsi cara mereka berhadapan dengan trauma dan kepahitan yang mengekori sepanjang perjalanan dunia penulisan mereka.
Menurut Hafiz Hamzah, di setiap “jalan dan ingatan” yang dilalui oleh pengarang, pasti ada rasa-rasa yang mahu dilupakan kerana dilihat lebih bersifat peribadi.
Sisi peribadi itu yang lebih saya gemari selaku editor kerana kadangkala perkara itu datang tidak dijangka.
Sebagai seorang penulis, waktu-waktu yang tidak dijangka seperti itu penting untuk mereka lihat bagaimana mereka mampu berhadapan dengan trauma dan perasaan yang menyakitkan.
Ini secara tidak langsung menjadikan penulisan sebagai cara mereka (penulis) berhadapan dengan diri sendiri.
Sementara itu, Abdullah Hussaini, Penulis Muda Berbakat Hadiah Sastera Darul Makmur, melihat “jalan dan ingatan”nya sebagai penulis mendorong beliau untuk lebih menghasilkan karya.
Kongsinya,
Menulis adalah perkongsian ‘jalan dan ingatan’ yang ingin saya kongsi kepada umum.
Selagi ada cerita yang ingin saya kongsi, selagi itu penulisan saya akan terus berjalan.
Lebih menganggap penulisan seperti kehidupan, Qurratul ‘Ain berasakan bahawa apa-apa sahaja yang ditulis dan dilontarkan pada sekeping kertas mengalir ibarat sebuah kehidupan yang dijalaninya.
Saya rasa, kenapa puisi-puisi saya kelihatan seperti tidak ada destinasi atau tujuan kerana puisi itu sendiri menggambarkan kehidupan saya yang sentiasa bergerak dan mengalir tanpa ada satu titik yang pasti.
Bagi saya selagi saya hidup dan menjalani hidup saya, selagi itu puisi saya akan mengalir seiring perjalanan yang saya lewati.
Bersesuaian dengan tema GTLF24, iaitu “Word on the Street”, sesi ini dilihat menggali lebih dalam hal berkaitan dengan pengalaman pengarang dalam menelusuri kembali ingatan dan perasaan yang mereka guna sebagai alat untuk memilih bahasa yang tepat dan baik dalam puisi atau prosa yang ditukangi.
GTFL24 yang membuka tirainya bermula pada 29 November hingga 1 Disember 2024 kembali mewarnai dunia sastera tanah air sebagai penutup industri penulisan kreatif tempatan bagi tahun 2024.
Bertempat di sekitar bandar Georgetown, Pulau Pinang, GTLF24 hadir meraikan suara, perspektif dan pengalaman yang dikutip melalui sebuah perjalanan yang panjang dalam membentuk budaya dan pemikiran sesebuah karya.