Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Sayap Penulisan Muda, Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dengan kerjasama kerajaan Negeri Pahang berjaya mengangkat karya penulis Pahang ke layar perak melalui adaptasi novel Mereka yang Tertewas.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, YB Tuan Fadzli Mohamad dan Ahmad Farihan Abdul Manan, wakil DPMP berkolaborasi bagi mengadakan sesi Tonton Santai Filem bertempat di GSC Kuantan City Mall.
Kongsi YB Tuan Fadzli Mohamad dalam ucapannya, beliau sangat berharap agar DPMP boleh memainkan peranan untuk melahirkan lebih ramai penulis dan sasterawan yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan sejarah negeri Pahang.
Kerana itulah saya memberikan sokongan penuh kepada filem ini, kerana ia diadaptasi daripada novel yang penulisnya berasal dari Pahang.
Sebanyak 100 orang penonton terdiri daripada wakil Majlis Belia Daerah Kuantan, anak muda dan juga mahasiswa daripada Universiti Islam Sultan Ahmad Shah Pahang (UNIPSAS) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) turut hadir bagi memenuhi ruangan tontonan.
Selaku penyelaras program, Ahmad Farihan Abdul Manan berkata, objektif utama program ini diadakan adalah untuk mendekatkan anak muda dengan sastera dan meraikan kejayaan karya Hasanuddin Md Isa yang dibawa ke layar perak buat julung-julung kalinya.
Pada tayangan itu, beberapa barisan produksi turut hadir antaranya termasuklah Pengarah Mereka yang Tertewas, Dato’ Zulkifle M. Osman dan Fiza Halim selaku pelakon utama.
Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), Dato’ Dr. Ahmad Munawar Abdul Jalil; Naib Presiden DPMP, Tuan Haji Asmui Mustapha; Penolong Setiausaha DPMP, En Nasrul Isyam Abdul Hamid dan jawatankuasa DPMP.