Diterbitkan pada 19 November 2024, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching-Sasterawan Sarawak ke-6, YBrs. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi melalui ucaptamanya bersempena dengan Pertemuan Karyawan Sarawak ke-13, menyentuh tentang pengkaryaan menerusi sayembara dan peranan media sosial dalam kerja penulisan pada masa kini. Kongsinya,

Pengkaryaan menerusi sayembara dan peranan media sosial dalam kerja penulisan pada masa kini amat penting kerana hal itu dilihat sebagai ruang dan peluang bagi penulis untuk betapak kukuh dalam industri kreatif.

Pertemuan anjuran Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) yang berlangsung pada 16 dan 17 November lalu ini telah diisi dengan lima sesi forum yang membincangkan usaha pemugaran dan pelestarian potensi dan bakat para karyawan seni dari aspek kepengarangan sayembara.

Melalui lima sesi yang berlangsung di bilik Rajang, The Waterfront Hotel, Pertemuan karyawan Sarawak kali ke-13 bersetuju dengan cadangan penubuhan Majlis Sastera Sarawak bagi meneruskan lagi sayembara bertemakan kearifan tempatan.

Selain berhasrat ingin mempertingkatkan lagi penajaan dan pendanaan penerbitan buku, pertemuan ini juga turut mencapai kata putus untuk mengangkat mana-mana karya yang berjaya merangkul anugerah dijadikan fokus dalam seminar atau kolokium sebagai usaha memperkenalkan sastera secara akrab kepada guru dan penulis.

Barisan panel yang dibawa khas bagi kelima sesi yang berlangsung antaranya termasuklah, Benedict Samling, Benjamin Asin dan Shield Sahran dengan tajuk “Penulis Kelahiran Sayembara?”; Clayton Robert, Halimah Abdul dan Lee Too Kian bagi sesi kedua dengan tajuk “Menulis untuk Sayembara atau Menulis untuk Berkarya”.

Manakala bagi sesi ketiga turut menampilkan, Dr. Dilah Tuah, Ja’afar Haji Hamdan dan Dayang Azizah Mohd Salleh yang lebih memfokuskan isu berkaitan penilaian karya sayembara serta kritikan karya dan sesi keempat menampilkan Dr. Siti Nur Hidayah dan Encik Mohd. Faizal Jamil.

Sesi terakhir bagi pertemuan ini merupakan sesi Suara Orang Veteran yang membincangkan sudut pandang dan pemikiran daripada penulis veteran dengan menampilkan Encik Mohidin Malek, Encik Mohamad Bohari dan Encik Yusuf Mustanir sebagai ahli panel.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi