Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Institut Antarabangsa Pengajian Islam Lanjutan (IAIS), dan Kedutaan Tajikistan di Malaysia menganjurkan pameran serta tayangan video montaj sejarah Tajikistan, Ferdawsi dan Shahnameh: A Literary Masterpiece.
Majlis pembukaan telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Belia, Sukan dan Keusahawan Selangor) Yang Berhormat (YB) Tuan Najwan Halimi di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, baru-baru ini.
Dalam ucapan perasmian YB Najwan Halimi menjelaskan bahawa penganjuran ini untuk memberi penghormatan kepada salah seorang penyair dan pemikir terkemuka dunia, Abul Qosim Ferdowsi.
“Karyanya, epik Shahnameh, telah mengubah sejarah dan budaya masyarakat penutur bahasa Parsi dan memberi pengaruh yang mendalam kepada sastera, seni, dan pemikiran dunia.” Ujar beliau.
Seterusnya, beliau menjelaskan puisi yang diangkat dalam filem ini mengingatkan kita tentang prinsip-prinsip yang memperkukuh masyarakat, dan mesejnya yang kuat mengenai kebaikan, keamanan, serta keadilan tetap relevan hingga ke hari ini, walaupun telah berusia seribu tahun.
Sebelum itu, pameran ini sedang berlangsung dan dibuka kepada umum sehingga 17 Oktober 2024.
Pameran ini memberi peluang kepada pengunjung untuk mendalami sejarah, budaya dan hasil seni negara Tajikistan dan turut memberi ruang kepada para pengunjung untuk merasai secara langsung keunikan budaya Tajikistan melalui tayangan filem.
Acara ini bukan sahaja melambangkan penghormatan yang mendalam terhadap warisan budaya rakyat Tajikistan, tetapi juga mengukuhkan hubungan budaya antara kedua-dua negara.

Pameran dan tayangan filem ini merupakan program kebudayaan yang menjalin kerjasama erat antara Malaysia dan Tajikistan, serta memupuk persefahaman dan persahabatan yang lebih mendalam antara kedua-dua negara.
Sewaktu majlis perasmian diadakan, turut hadir memeriahkan acara adalah Tengku Laksamana Selangor, Yang Mulia Tengku Sulaiman Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.