Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAda sebuah rumah yang aku bina dalam anak matamu. Runtuh dan jatuh di dalamnya. Kau mula rasa bosan dengan hiasan dalam yang aku usaha – tidak sesuai dengan seleramu. Kau selongkar di segenap bilik yang ada, cari jika ada yang masih tertinggal untuk kau bawa. Aku geledah semua ruang tanpa endah, cari jika masih ada sudut untuk aku bina nyaman buat kita. Tapi yang tinggal melekat pada dinding yang mula rosak hanya caci maki dan bingkai gambar kita yang mula retak kerana raung dan laung yang kita lontar.
Maka, aku bungkus barang-barangku – aku buka pintu – kau hanya membatu – kemudian, kau juga berlalu – meninggalkan rumah yang aku bina pada anak matamu.
Perlahan-lahan, rumah itu kosong dengan dinding yang lompong dan atap yang sudah rompong dimakan usia perkenalan yang sudah jauh ditinggalkan.
Kini,
Aku pulang, pada rumah yang aku bina tanpa kau menyambutnya di depan pintu.