Diterbitkan pada 17 September 2024, 15:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jakarta – Tradisi pertemuan gagasan penulis serantau yang mempertemukan  penulis dalam pelbagai genre sejak dari tahun 1995 masih lagi diteruskan sehingga ke hari ini sebagai sebuah tradisi dalam dunia kesusasteraan.

Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) sejak dari tahun 1996 ketika awal penubuhannya berperanan untuk merancang dan memantau perkembangan sastera dalam memperlihatkan kerelevanan dunia sastera Melayu pada masa kini.

MASTERA sehingga kini terus menjadi ruang dan peluang yang mempertemukan pelbagai penulis dengan memperlihatkan perkembangan sastera negara melalui kelahiran penulis berbakat yang berupaya melangkah lebih jauh dalam dunia kesusasteraan.

Pada 2 hingga 6 September lalu, Program Penulisan MASTERA: Novel telah diadakan di Mercure Convention Centre Ancol dengan mempertemukan sebanyak 21 orang penulis dari empat buah negara iaitu, Indonesia (tuan rumah), Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura.

Pertemuan penulis serantau yang berlangsung selama lima hari ini turut melibatkan sebanyak empat orang pembimbing dari Malaysia dan Indonesia, antaranya termasuklah, Ida Ayu Oka Rusmini (Indonesia), Fanny J. Poyk (Indonesia), Andrei Aksana (Indonesia) dan Prof. Madya Dr. Ariff Mohamad (Malaysia).

Melalui bimbingan ini penulis lebih banyak ditekankan hal berkaitan garapan sinopsis, alur cerita, latar, tema serta didedahkan dengan beberapa teknik penulisan seperti pemantapan metafora, pemilihan warna dengan situasi, penguasaan watak dan perwatakan serta memahami kearifan tempatan.

Penulis yang terlibat telah dibahagikan kepada empat kelompok dan diberikan tugasan untuk disemak semula manuskrip mengikut cadangan pembimbing yang bertugas secara bergilir-gilir.

Wakil peserta dan pembimbing dari Malaysia bersempena dengan Program Penulisan MASTERA: Novel 2024.

Pertemuan penulis serantau ini bukan sekadar mewujudkan jaringan sosial antara negara, tetapi juga mempertemukan idea, pemikiran dan gagasan mereka terhadap dunia sastera dari negara masing-masing.

Malaysia telah menghantar seorang pembimbing dan dua orang peserta melalui pertemuan ini, iaitu Prof. Madya Dr. Ariff Mohamad sebagai pembimbing, Noor Hafedah Jamiyil dan Nur Azshieldha Sahran sebagai peserta dan seorang Sasterawan Tamu, Lutfi Ishak.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi