Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – MARA Corporation memeriahkan dunia perpuisian tanah air dengan menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka di Kolej Poly-Tech MARA, kampus Bangi.
Acara berprestij ini telah menyaksikan penyertaan sebanyak 12 peserta berbakat yang mewakili anak syarikat kumpulan MARA Corporation. Puisi yang terdapat dalam Antologi Puisi Ke Sarang Cenderawasih terbitan GAPENA telah dipilih sebagai puisi deklamasi.
Antologi ini dipilih kerana tema dan semangat patriotisme yang ditonjolkan dilihat bertepatan dengan penganjuran sayembara yang berlangsung bersempena dengan Sambutan Bulan Kebangsaan Kumpulan MARA Corporation.
Barisan juri yang terlibat bagi sayembara ini merupakan dua orang tokoh berpengalaman dalam dunia deklamasi puisi tempatan iaitu, Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan (SDPK) 2004, Intan Marhayu Rahman dan Juara SDPK 2010, Tarmizi Kassim.
Melalui penjurian barisan juri, Mohd Yusof Mat Ali (Pengarah Kanan Jabatan Sumber Manusia, Kolej Poly-Tech MARA) dengan puisinya yang bertajuk “Tajam Segala Sembilu” karya Awang Abdullah telah dinobatkan sebagai juara.
Manakala, naib juara menjadi milik Marjaan Abdul Rahim dengan puisinya yang bertajuk “Aksara Mimpi” (Hashim Ismail) dan tempat ketiga disandang oleh Mohd Nur Hakim Bahaman dengan puisinya, “Wajah Bonda” karya Azmi Ismail.
Komitmen MARA Corporation dalam memelihara dan memartabatkan sastera, budaya dan seni tempatan melalui penganjuran sayembara seperti ini bukan sahaja mempamerkan bakat deklamator tempatan, tetapi juga secara tidak langsung turut mengukuhkan semangat perpaduan dan kecintaan negara dalam masyarakat.