Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – “Dewan Bahasa dan Pustaka berharap dengan penganjuran Sayembara Jiwa Merdeka 2024 akan melahirkan lebih banyak bakat baharu, terutamanya golongan muda agar tumbuh dan menjadi pelapis bahasa dan sastera negara.”

Demikian ucapan penutupan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBrs. Tuan Haji Md Johari Hassan dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Jiwa Merdeka yang dianjurkan oleh NU Sentral Shopping Centre dengan kerjasama DBP melalui Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, dan Bahagian Majalah.
Tambah beliau,
Penganjuran sayembara tersebut selari dengan objektif penubuhan DBP, iaitu memperkembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan selain menyokong satu nilai teras Malaysia MADANI, iaitu teras daya cipta yang merujuk kepada pembaharuan dan pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya cipta manusia.
“Sebanyak hampir 483 penyertaan dari seluruh negara membuktikan bahawa minat dan kecenderungan masyarakat terhadap penulisan kreatif seperti puisi masih lagi mekar dan karya akhir oleh pemenang sayembara ini akan dinilai untuk diterbitkan dalam majalah terbitan DBP,” ulas beliau.
Hadiah utama bagi sayembara tersebut dimenangi oleh Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid dengan puisi “Tekad Jiwa Merdeka”. Tempat kedua dimenangi oleh Siti Zaiton Ahmad dengan puisi “Mengikis Nama Pengkhianat” dan tempat ketiga dimenangi oleh Georgina Guinevere anak Leslie dengan puisi bertajuk “Di Balik Derita, Tersingkap Merdeka”.
Manakala, tiga tempat sagu hati dimenangi oleh Adam Bakhtiar Buck Lee Abdullah, Putera Muhaymin Hamizan dan Muhammad Firdaus Abdul Rahim.

Dalam majlis yang diadakan di ruang legar NU Sentral pada petang tadi, YBrs. Tuan Haji Md Johari Hassan turut menyempurnakan perasmian Sudut Bacaan DBP – NU Sentral di pusat beli-belah tersebut.
Menurut YBrs. Tuan Haji Md Johari, usaha tersebut merupakan pengisian program di bawah Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) pada tahun ini sebagai usaha memupuk semangat membaca dalam kalangan masyarakat, khususnya pengunjung di pusat beli-belah NU Sentral.
“Pelbagai buku telah dibekalkan oleh DBP seperti novel, kumpulan cerpen, buku kanak-kanak dan buku umum serta kumpulan pantun Melayu yang selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang tahun 2030,” ujar beliau.
DBP amat mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam pelbagai medium dan kaedah.
Turut hadir dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Jiwa Merdeka 2024 ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Pengurus Kanan Pemasaran NU Sentral, YBrs. Encik L. Izwan Abdullah; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Roziah Yunus; Ketua Editor Majalah DBP, Dr. YBrs. Rosmani Omar, pegawai DBP dan pegawai NU Sentral.