Diterbitkan pada 7 September 2024, 18:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid yang mendeklamasikan puisi “Tekad Jiwa Merdeka” diumumkan sebagai pemenang hadiah utama Sayembara Jiwa Merdeka 2024, dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Jiwa Merdeka 2024 dan Pelancaran Sudut Bacaan DBP – NU Sentral yang diadakan di Ruang Legar Utama (Aras LG), NU Sentral Shopping Centre pada hari ini.

Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid, pemenang hadiah utama Sayembara Jiwa Merdeka 2024.

Program anjuran NU Sentral, Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini bertujuan untuk memperkembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan selain menyokong satu daripada nilai teras Malaysia MADANI, iaitu teras daya cipta yang merujuk kepada pembaharuan dan pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya cipta manusia.

Daripada lebih 483 penyertaan yang diterima dari seluruh negara, sebanyak enam hasil karya asli terbaik telah terpilih sebagai finalis akhir Sayembara Jiwa Merdeka 2024. Senarai pemenang Sayembara Jiwa Merdeka 2024 adalah seperti yang berikut:

Hadiah utama: Wan Muhammad Hanif Wan Abd Hamid, judul puisi, “Tekad Jiwa Merdeka”.

Tempat kedua: Siti Zaiton Ahmad, judul puisi, “Mengikis Nama Pengkhianat”.

Tempat ketiga: Georgina Guinevere anak Leslie, judul puisi, “di Balik Derita, Tersingkap Merdeka”.

Sagu hati pertama: Adam Bakhtiar Buck Lee Abdullah, judul puisi, “Pelataran Nikmat Kemerdekaan”.

Sagu hati kedua: Putera Muhaymin Hamizan, judul puisi, “Darah Merah di Tanah Hijau”.

Sagu hati ketiga: Muhammad Firdaus Abdul Rahim, judul puisi, “Rukun Merdeka”.

Wan Muhammad Hanif bersama-sama pemenang hadiah tempat kedua dan tempat ketiga.

Wan Muhammad Hanif yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir di Bahagian Perindustrian, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang, turut merakamkan rasa syukur dan teruja kerana terpilih sebagai pemenang Sayembara Jiwa Merdeka 2024.

“Daripada lebih 483 penyertaan puisi yang diterima dari seluruh negara, puisi ini berjaya memenangi hadiah utama, alhamdulillah.” Kata beliau dalam temu bual eksklusif bersama-sama wartawan JendelaDBP.

Wan Muhammad Hanif sewaktu mendeklamasikan puisi Tekad Jiwa Merdeka di NU Sentral.

Wan Muhammad Hanif yang segak mengenakan baju berwarna biru dan bertanjak hitam turut mendeklamasikan puisi “Tekad Jiwa Merdeka” dengan penuh emosi di pentas utama NU Sentral, Kuala Lumpur.

Menurut beliau lagi:

Puisi ini merupakan hasil nukilan saya sepenuhnya. Puisi ini dihasilkan dalam masa yang singkat, iaitu pada saat-saat akhir pertandingan, namun disebabkan pelibatan saya dalam pertandingan sayembara puisi sebelum ini, membuatkan saya lebih terdedah untuk menghasilkan puisi yang menepati kriteria tema kemerdekaan.

Sewaktu ditanya mengenai mesej yang ingin disampaikan dalam puisi ini, beliau berkata:

Puisi ini dihasilkan untuk menggalakkan jiwa-jiwa muda memahami erti perjuangan orang terdahulu dalam mempertahankan kemerdekaan negara.

Antara rangkap puisi tersebut ialah:

Berbekalkan keazaman nan tinggi,
sejarah diingati sebagai pedoman,
jasa pahlawan disanjung dalam ingatan,                                                        bakti pengorbanan dikenang sepanjang zaman,
tetes-tetes darah satria tidak pernah kering,
menyemarakkan api pada sumbu patriotisme.

Puisi kemerdekaan merupakan sebuah puisi atau rangkaian kata puitis yang mengandungi makna mendalam tentang semangat patriotik, kebebasan dan rasa cinta akan tanah air. Puisi kemerdekaan bukan sahaja mengungkapkan rasa cinta dan bangga akan tanah air, malah menjadi wadah untuk menghayati pengorbanan para pejuang yang telah berjuang demi kemerdekaan negara.

Erti kemerdekaan itu sendiri memberikan peluang kepada rakyat untuk menentukan hala tuju negara, menjamin hak asasi dan menikmati kehidupan yang bebas daripada penindasan. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, kita harus menghargai kemerdekaan dan menzahirkannya dalam bentuk penulisan atau perbuatan.

Melalui penganjuran pertandingan seperti ini, kita dapat memupuk nilai patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia. Bait sajak kemerdekaan yang dihasilkan juga dapat berfungsi sebagai medium pendidikan kepada generasi akan datang. Sajak kemerdekaan yang disusun dengan kata puitis dan penuh makna dapat menyentuh jiwa masyarakat untuk menghargai erti kemerdekaan yang telah kita kecapi daripada generasi terdahulu.

Tetamu kehormat bersama-sama hadirin yang menyaksikan Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Jiwa Merdeka 2024 dan Pelancaran Sudut Bacaan DBP – NU Sentral.
Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi