Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Para peserta yang terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changloon, SMK Dato, Syed Ahmad, dan mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah telah terpilih bagi menyertai Bengkel Penulisan Puisi Artistik yang diadakan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN), Pumpong, Alor Setar, Kedah.
Melalui bengkel ini, sebanyak empat orang pembimbing yang pengalaman tidak hanya dalam bidang puisi artistik, tetapi juga dalam bidang lakonan teater dan pendeklamasian sajak turut diketengahkan untuk berkongsi tentang teknik penulisan dan penyampaian puisi artistik.
Empat orang pembimbing yang terlibat antaranya termasuklah Pengerusi Persatuan Pemuisi Negeri Kedah, Shamsudin Ahmad, penggiat teater Negeri Kedah, Mohd Zulkamal Ismail (Joe K.A.S), Pegawai Pusat Kokurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM), Saiful Amir Kidam dan pendeklamator hebat negeri Kedah, Cikgu Zaheera Ibrahim.
Kongsi Shamsudin Ahmad dalam sesi pertamanya berkenaan proses kreatif sesebuah puisi artistik,
Puisi artistik merupakan sebuah puisi yang telah melalui proses pemeraman serta pengeraman yang agak lama untuk memastikan puisi itu berkualiti. Perbezaan antara kreativiti dengan artistik dapat dilihat melalui maksud serta gaya penulisan itu sendiri.
Dalam pada itu, Joe K.A.S yang juga merupakan penggiat teater berpengalaman melalui sesi kedua bengkel melihat puisi artistik ini sebagai sebuah persembahan yang dekat dengan ciri-ciri lakonan teater.
Beliau menjelaskan bahawa medium untuk drama (lakonan) seperti teater dan puisi berbentuk artistik mempunyai persamaan yang ketara kerana bahasa yang digunakan merupakan bahasa baku dalam setiap dialog atau bait puisi yang dihasilkan.
Menurut Shamsudin Ahmad, puisi artistik ini mula diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 1980. Puisi berbentuk ini banyak diangkat oleh Sasterawan Negara (SN), YBhg. Dato’ Rahman Shaari dalam setiap program atau bengkel puisi yang dikendalikan oleh beliau sendiri.
Puisi artistik biasanya akan dialun dan digayakan dengan pergerakan badan dan tangan sebagai ekspresi menyampaikan sesebuah puisi dengan gaya bahasa yang indah kepada penonton.
Bengkel Penulisan Puisi Artistik anjuran Persatuan Pemuisi Negeri Kedah melalui kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dan Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) ini dianjurkan bertujuan untuk mendedahkan kepada setiap peserta tentang bagaimana untuk menulis puisi artistik dengan baik dan sempurna.