Diterbitkan pada 7 Ogos 2024, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Baling – Bidang komunikasi dan teater memainkan peranan yang amat penting sebagai alat untuk mengasah dan menajamkan minda pelajar agar menjadi individu yang berilmu dan berwawasan, selain mampu membentuk individu yang berani dan yakin diri dalam apa-apa jua bidang yang diceburi kelak.

Hal ini dinyatakan oleh Mohd Zulkamal Ismail atau lebih mesra dikenali sebagai Joe K.A.S, seorang penggiat teater negeri Kedah ketika berucap dalam Bengkel Komunikasi Berkesan tentang Teater bertempat di Pusat Islam Ar-Rahman, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Baling, Kedah.

Bengkel komunikasi yang melibatkan sebanyak 166 orang pelajar Tingkatan Satu MRSM, Baling, Kedah ini diadakan bertujuan untuk berkongsi ilmu berkaitan teater dan komunikasi kepada para pelajar dengan lebih mendalam sebagai pendedahan awal buat mereka sebelum melangkah dengan lebih jauh untuk mengembangkan bakat yang sudah sedia ada. Kongsi Joe K.A.S lagi:

Bagi pelajar-pelajar yang ingin berteater, mereka perlu mempunyai asas dan panduan dalam berteater. Sebagai tenaga pengajar, saya berharap agar mereka dapat mendengar dan memahami setiap apa yang  saya ajari. Dan mempraktikkannya dalam kehidupan harian mereka.

Bengkel anjuran Unit Program Cemerlang Akademik MRSM, Baling, Kedah ini merupakan satu daripada usaha pihak sekolah dalam memupuk rasa cinta para pelajar kepada seni persembahan teater yang dilihat semakin berkurangan dalam kalangan generasi muda.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi