Oleh Hakim Bahaman
7 Ogos 2024, 08:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Negeri Sembilan – Bakal guru, Nurul Izzah Kamsidi (21) telah dinobatkan sebagai juara baharu Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-38 Peringkat Negeri Sembilan dengan puisinya yang bertajuk “Wujud yang Menipis” karya Mohd Ghazali Taib bertempat di Inaraz Space, Seremban 2.

Nurul Izzah telah menewaskan 14 orang lagi peserta berpengalaman dalam saingan yang begitu sengit. Kejayaan ini telah membuktikan ketekalan beliau menyertai SDPK semenjak tahun 2022, akhirnya membuahkan hasil yang cukup manis buatnya.

Nurul Izzah Kamsidi (21), beraksi penuh semangat bersempena dengan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan ke-38 Peringkat Negeri, kelmarin.

Dua lagi peserta yang berjaya mendapat tempat dalam SDPK ke-38 ini turut menjadi milik saudara Saiful Amir Kidam, sebagai naib juara dengan puisi “Riwayat Niskala” karya Raihani Mohd. Saaid. Sementara, tempat ketiga diraih oleh Muslim Ismail yang mendeklamasikan puisi “Ke Sarang Cenderawasih” nukilan Zaen Kasturi.

Barisan panel juri yang berpengalaman dalam menilai sayembara ini antaranya termasuklah, Tuan Ahmad Shukri Abdullah sebagai ketua juri (Juara SDPK 1996), Puan Nor Azah Abd. Aziz dan Dr. Ani Omar.

Tuan Ahmad Shukri melalui ulasan ketua jurinya turut memuji para peserta pada tahun ini kerana telah berjaya mempamerkan komitmen yang tinggi untuk menghafal sajak yang dipilih dengan cukup baik. Menurut beliau,

Hafalan yang kemas akan memudahkan para peserta untuk menampilkan unsur-unsur kekaguman dan keindahan melalui persembahan masing-masing. Walau bagaimanapun, kebolehan untuk menampilkan unsur ini hanya boleh didapati sekiranya para pendeklamator sentiasa belajar daripada kesilapan dan bersikap tidak putus asa sehingga beroleh kejayaan.

Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) ini diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah, YBhg. Puan Nurul Julia Alani Henry.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.