Oleh Firdaus Mul
6 Ogos 2024, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Minat yang mendalam terhadap seni lukis telah membuka ruang dan peluang buat Nurshuhada Abdullah menghasilkan sebuah buku bergambar kanak-kanak Siri Fenomena Alam Kembara Musim Panas Sara terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sekaligus bergelar seorang penulis.

Apabila menyedari wujudnya peluang untuk menghasilkan buku, beliau berusaha menggunakannya dengan sebaik mungkin untuk menyajikan sebuah cerita yang penuh dengan didikan dan hiburan buat pembaca golongan muda.  Kongsinya melalui wawancara program siaran langsung Pena Editor pada 10 Julai yang lalu,

Apabila saya mendapat tahu DBP mencari penulis buku bergambar kanak-kanak, jadi saya tanpa banyak berfikir terus mengambil peluang ini untuk menghasilkan buku kanak-kanak saya yang pertama.

Nurshuhada Abdullah (penulis) berkongsi pengalaman dan proses kreatif beliau dalam penerbitan buku melalui Program Pena Editor, Kembara Musim Panas Sara.

Buku Siri Fenomena Alam Kembara Musim Panas Sara, ini bukan hanya menyajikan pengisahan kembara watak yang bergelar Sara semata-mata, tetapi juga turut menyediakan informasi mengenai fenomena alam dan kesannya terhadap kehidupan alam sekitar kita.

Sementara itu, watak utama Sara yang ditonjolkan oleh Nurshuhada ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada pembaca sasaran iaitu golongan kanak-kanak melalui pengembaraan yang mengujakan.

Selain itu, Nurshuhada turut menegaskan antara lain keistimewaan yang terdapat dalam buku Siri Fenomena Alam Kembara Musim Panas Sara, adalah penggunaan warna yang menarik dan sesuai berdasarkan latar cerita yang terdapat dalam buku tersebut.

Beliau percaya, penggunaan warna yang bertepatan dengan latar cerita diikuti dengan ilustrasi yang baik, berupaya untuk menarik golongan kanak-kanak selaku pembaca untuk mengamati perjalanan kisah yang cuba disampaikan oleh pengarang.

Pada akhir temu bual, pengarang berharap buku tersebut dapat memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak perihal kejadian fenomena alam, selain menjadi sajian bacaan untuk mereka sebagai hiburan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.