Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Panggung Anniversari, Taman Botani Kuala Lumpur bakal menjadi saksi kepada pementasan Jundai Nusantara 3.0: Renjana Kebaya yang diuruskan sepenuhnya oleh mahasiswa berbakat besar jurusan Pengurusan Seni, Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba (MMKZ) pada 17 Ogos 2024, nanti.
Dengan mengangkat tema “Renjana Kebaya Sempena Bulan Kemerdekaan,” konsert ini bakal menampilkan persembahan peragaan kebaya setiap negeri, deklamasi puisi, puisi artistik, lagu popular, teater, monolog dan nyanyian lagu rakyat yang akan diwarnai keindahan warisan kebaya serta tradisi lisan.
Acara seni ini akan dilaksanakan secara bersemuka dan turut disiarkan secara hibrid (siaran langsung) buat tontonan umum, sekali gus menjadikannya sebuah perayaan seni yang inklusif dan melepasi batas sempadan.
Tujuan pementasan Jundai Nusantara 3.0: Renjana Kebaya pada kali ini dilihat sebagai pelantar terbaik untuk mengangkat seni, sastera dan budaya menerusi penceritaan kebaya di Malaysia semasa bulan patriotik, serta membawa khalayak menelusuri adegan yang penuh dramatik, romantik dan penuh dengan unsur dan nilai patriotisme melalui penceritannya.
Penganjuran pementasan berskala besar di bawah kelolaan penganjuran Kelab Katarsis Seni (KKS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama-sama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).
Bersesuaian dengan taraf Nusantara, konsert ini juga akan disemarakkan lagi dengan kehadiran penggiat dan penghibur seni terkemuka tanah air, antaranya termasuklah penyanyi popular, Aina Abdul; Raja Puisi Multimedia Nusantara, Roslan Madun; penulis dan pemuzik Kopratasa, Sani Sudin; johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan, Brig. Jen Dato’ Dr. Mohd Radzi dan Shukri Abdullah, serta penggiat seni teater tempatan, Saiful Wazien.
Selain itu, turut hadir bersama-sama bagi memeriahkan pementasan ini, Biduan Syair ASEAN, Dr. Shafa’atussara Silahudin; penggiat seni tempatan, Maysaa Hana dan Izwan Palarae; Pengerusi Akademi Panggung Sri Utama Brunei, Sosonjan A. Khan; pendiri dan pengarah Celah Celah Langit, Indonesia, Iman Soleh serta penulis dan pemuzik dari Singapura, Isa Kamari.
Dengan matlamat untuk mengangkat seni, sastera dan budaya melalui pendidikan, Katarsis Seni tidak pernah lelah dalam usaha mereka untuk menganjurkan pelbagai program seni, sastera dan budaya di Malaysia.
Antara program anjurannya yang berjaya mencuri tumpuan sebelum ini termasuklah Nuansa Teaterikal Pasar Seni di Bawah Tiang Lampu 1 dan 2.
Sebarang pertanyaan mengenai pementasan Jundai Nusantara 3.0: Renjana Kebaya, boleh hubungi Penasihat Program merangkap Presiden KKS, Dr. Norzuraina Mohd. Nor menerusi talian 012-2304430, atau Maisarah Yazid, menerusi talian 011-27877291 dan email kepada [email protected].