Diterbitkan pada 25 Julai 2024, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Selangor –  Akmal Hasif Mohamad Sukri telah dinobatkan sebagai Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bandaraya Diraja Klang anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang bertempat di Laman Seni Safari Jejak Warisan Klang pada 20 Julai yang lalu.

Menurut Akmal Hasif ketika diwawancara Tunas Cipta, cabaran yang beliau hadapi dalam pertandingan ini adalah ketika peserta diminta untuk mencipta dan mendeklamasikan puisi yang bertemakan Bandar Diraja Klang.

Sebagai penuntut di Akademi Pengajian Islam dan Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Akmal Hasif gemar menggiatkan diri dalam pelbagai pertandingan dan persembahan pentas terutamanya deklamasi puisi.

Dengan berbekalkan pengalaman yang ada, Akmal Hasif menukilkan sebuah puisi berjudul “Khazanah Berharga” yang menyingkap sejarah kegemilangan Klang dengan menyelit pesanan pada pewaris tanah warisan.

Persembahan deklamasinya yang penuh semangat dan emosi itu telah berjaya menambat hati barisan juri serta para penonton hingga melayakkan beliau menyandang johan dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM500, sijil penghargaan dan hadiah iringan daripada pihak penganjur.

Naib johan bagi Sayembara Deklamasi Puisi Bandaraya Diraja Klang ini pula menjadi milik Aisyah Noor Balqis Muhammad Asri yang mendeklamasikan puisi nukilannya berjudul “Menjejak Warisan Silam”. Manakala, tempat ketiga telah dirangkul oleh Muhammad Faris Fiqran Muhammad dari Universiti Multimedia, dengan puisinya yang bertajuk “Di Bawah Langit Klang”.

Barisan juri yang menilai sayembara ini terdiri daripada panel jemputan profesional dan berpengalaman, Tuan Syed Mahazir Syed Ibrahim, Tuan Zainal Abdul Kadir dan Tuan Haji Ahmad Sarju.

Dalam pada masa yang sama, Pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi ini juga turut menampilkan persembahan syair dan puisi oleh Encik Mohd Zulhafis Zulkeply (Along Gambus) dan Encik Syeikh Shuhaimi Sheikh Abdul Rahim.

Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Deklamasi Puisi Bandar raya Diraja Klang ini telah disampaikan oleh Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Puan Saribanon Saibon, diiringi Pengarah Komunikasi Korporat, Puan Norfiza Mahfiz dan Pengarah Teknologi Maklumat, Puan Nor Hasyimah Tamziz,.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi