Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Adakah kedai buku Hyunam-Dong dalam novel anda ini benar-benar wujud?”
Begitu soalan yang diajukan oleh seorang hadirin kepada penulis buku Welcome to Hyunam-Dong Bookshop yang mencipta sensasi dalam kalangan pencinta buku dari seluruh dunia semasa Sesi Temu Mesra bersama-sama penulis Hwang Bo-Reum dan penterjemah Shanna Tan, baru-baru ini.
Dengan tawa kecil, Bo-Reum merungkai persoalan tersebut dengan menjelaskan bahawa latar yang ditulisnya itu hanyalah rekaan semata-mata, meskipun ada beberapa ciri yang diinspirasikan daripada siri lawatannya ke beberapa kedai buku tempatan di Korea.
Apabila ditanya tentang kekuatan buku ini, beliau berkata bahawa beliau hanya menulis tentang kehidupan seharian dan tentang orang-orang yang datang daripada kelas sosial biasa.
Tambah beliau, satu daripada watak yang menjadi kegemarannya ialah watak Min-Jun, seorang pembuat kopi yang pada mulanya mempunyai konflik dalaman dengan kerjanya kerana bertentangan dengan kehendak ibu bapa tetapi pada akhirnya berdamai dengan takdir.
Mungkin kerana itu, banyak orang menyukainya kerana mereka berasa terhubung dengan falsafah yang mereka temukan dalam setiap babak yang saya tulis.
Perkara ini disokong oleh Shanna Tan selaku pengendali acara yang turut mengakui bahawa buku ini menyuarakan situasi kebanyakan belia pada hari ini yang sudah bekerja keras dan melakukan segala-galanya mengikut acuan tetapi masih tidak menjamin kegembiraan.
Welcome to Hyunam-Dong Bookshop berkisar tentang Yeong-Ju yang meninggalkan kehidupan lamanya yang “sempurna” menurut piawaian sosial demi mengejar impian untuk membuka sebuah kedai buku di kawasan kejiranan lama di Seoul.
Sejak versi terjemahannya dalam bahasa Inggeris diterbitkan oleh Bloomsbury Publishing pada penghujung tahun lepas, pelantar media sosial dibanjiri dengan hantaran oleh pempengaruh buku yang rata-ratanya teruja dan berpuas hati dengan jalan cerita yang dipersembahkan.
“Novel ini pasti menjadi buku yang paling nyaman yang pernah anda baca,” ujar seorang pengguna dengan nama panggilan @stphlimreads yang mempunyai lebih 53 ribu pengikut menerusi aplikasi TikTok.
Novel ini merupakan novel pertama beliau yang sudah terjual sebanyak lebih daripada 150,000 naskhah di Korea dan kini menembusi pasaran buku dunia termasuk Malaysia.