Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Selepas hadir dengan dua judul pertama pada tahun lepas, tahun ini penerbit setahun jagung, Rocky Press mengambil langkah besar dengan menyajikan lima himpunan cerita termasuk koleksi cerpen dan novel bagi memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL).
Dalam acara yang sama pada tahun lepas, Rocky Press telah menampilkan Sue Emoqwin dengan karyanya Memori Untuk Dijual dan A.R. Shah PPR Kg. Laut Dalam sebagai penulis pembuka kepada rumah penerbitan baharu ini.
Sering dipuji ramai dengan anggapan bahawa mereka ini giat menerbitkan buku-buku berkisar kehidupan sosial di Malaysia, baik sebagai seorang wanita mahupun rakyat marhaen, tahun ini Rocky Press kembali menyambung usaha mereka dengan menghadirkan penulis daripada pelbagai latar belakang.
Tunas Cipta sempat mewawancara penulis Komedi Orang Minyak, Farahin W. yang juga merupakan seorang aktivis dan guru sekolah, katanya kehadiran penulis pelbagai latar ini semacam “menampilkan cara pandang yang berbeza serta menambah warna baru di atas kanvas sastera Malaysia”. Malah, beliau turut memuji langkah berani penerbit ini yang mengetengahkan penulis baharu yang buat julung kali hadir dengan buku pertama masing-masing. Tambahnya,
Bukan sahaja dari segi pemilihan tema, keputusan untuk menerbitkan kumpulan cerpen ketimbang genre sastera yang lain juga merupakan satu tindakan yang berani. Lebih-lebih lagi, kalau boleh diukur maqam genre sastera, cerpenlah yang paling rendah darjatnya.
Selain itu, Jasad Bersiong seorang penggiat seni, artis persembahan dan penulis Bakso 7 Kerdil ini beranggapan ada keperluan untuk Rocky Press berkongsi pelbagai sisi masyarakat termasuk yang gelap dan berat. Jelasnya,
Kami akur cerita yang ringan dan santai lebih ramai peminat namun kisah yang dekat dengan masyarakat akan membuatkan kita sentiasa berpijak di bumi nyata bahawa realiti bukanlah semanis fantasi. Mempelajari bahawa begitu banyak sisi gelap dan kritikal masyarakat akan membantu pembaca mempunyai sudut pandang yang lebih realistik dan merangsang mereka untuk berfikir dengan kritis. Dalam dunia, fantasi membantu merehatkan tekanan perasaan namun realiti membantu menyediakan kekuatan mental.
Terbitan Rocky Perss pada tahun ini, turut menampilkan koleksi cerpen satira Mbek: Melodi Dari Neraka tulisan barista dan podcaster, Ben Nizari; himpunan cerpen terbaharu, Situasi Situasi oleh penulis prolifik yang pernah menjadi guru sebelum berkecimpung dalam dunia hiburan selama 20 tahun, Regina Ibrahim dan novel Empat Sisi Dinding oleh Steff Fleur, penyanyi yang mana satu daripada lagunya pernah dijadikan runut bunyi untuk sebuah drama di Netflix.
Sementara PBAKL masih berlangsung hingga 2 Jun 2024 ini, anda boleh dapatkan semua buku terbitan Rocky Press melalui reruai TOKOSUE x Rocky Press yang berada di Aras 4, Dewan Tun Razak.
Bagi yang tidak dapat hadirkan diri ke acara pesta buku terbesar Malaysia ini, anda tetap boleh membeli judul-judul ini melalui pelantar Shopee TOKOSUE: https://s.shopee.com.my/5AWrfNbfKW