Oleh Aliff Awan
15 Mei 2024, 17:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Biarpun di tengah-tengah kesibukan jadual akademik, Universiti Malaya (UM) kekal memberikan peluang dan ruang kepada kesenian tempatan untuk diraikan oleh pelajar-pelajarnya melalui Festival Seni UM (FESENI) yang menampilkan 15 acara antaranya termasuklah, nasyid, tarian tradisional, boria, dikir barat dan kompang.

Acara tahunan antara kolej yang bermula sejak 1975 ini meliputi beberapa acara termasuk Malam Manifestasi Puisi yang berkonsepkan deklamasi dengan selitan lakonan atau drama.

Malam Manifestasi Puisi yang berlangsung pada hari kesembilan FESENI 2024 ini telah menyaksikan Kolej Kediaman 12 menyandang gelaran juara dengan puisi “Cerita Sebenar Mat Jenin” tulisan Sasterawan Negara Wanita Pertama, Zurinah Hassan. Manakala, naib johan menjadi milik Kolej Kediaman 1 yang membawa puisi berkisarkan Oedipus, sementara tempat ketiga dirangkul oleh Kolej Kediaman 9 yang berkonsepkan makhluk biru.

Kolej Kediaman 12 menyandang gelaran juara dengan puisi “Cerita Sebenar Mat Jenin” tulisan Sasterawan Negara Wanita Pertama, Zurinah Hassan.

Kemenangan setiap kolej ini bukanlah satu-satunya perkara yang diraikan pada malam tersebut. Sebaliknya, keterbukaan pelajar dan pihak UM untuk bekerjasama dengan penggiat seni tempatan dengan melantik mereka sebagai jurulatih persembahan setiap kolej menjadi satu daripada inisiatif yang perlu dirayakan.

Pengarah teater muda, Aimie Ahmad beranggapan bahawa proses ini sebagai satu peluang yang menyeronokkan kerana beliau dapat meneroka sesebuah karya dengan pelajar yang tidak menekuni bidang seni secara major, sekali gus membenarkan puisi atau orang kata “seni berat” ini lebih dekat dengan individu biasa.

Naib johan menjadi milik Kolej Kediaman 1 yang membawa puisi berkisarkan Oedipus.

Sementara Mosyuki Borhan, jurulatih Kolej Kediaman 10 yang meraih tempat keempat pada malam acara ini pula menyifatkan peluang kolaborasi ini sebagai satu cabaran buatnya. Jelasnya,

Semasa dapat panggilan, saya dikhabarkan semua pelajar ini pertama kali ingin mementaskan puisi, bahkan ada yang tak pernah berpentas dan ada yang tak pernah tahu apa itu puisi. Sebelum ini memang pernah terfikir untuk terlibat dalam aktiviti pelajar, jadi bila diberikan peluang ini saya terus setuju.

Tambahnya lagi,

Sepanjang kolaborasi ini, saya lebih menikmati proses pembelajaran dan latihan daripada malam persembahan sebenar. Melihat perkembangan dan perubahan pelajar dari hari ke hari adalah sesuatu yang cukup untuk menggembirakan saya.

Pada malam yang sama, acara ini turut menghadiahkan Kolej Kediaman 12 sebagai pemenang persembahan terbaik dan pendeklamasi terbaik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.