Diterbitkan pada 22 April 2024, 09:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Hema Zulaikha

Terdetik emosi ligat otak terfikir

Memecah angan yang tiada akhir

Mengamati masa berbakti yang kian hampir

Melabuh tirai maka menggamit rindu terukir

Ingatan jasa yang tiada batasan tafsir

 

Menghadapi jua melepasi pelbagai asam garam

Bersua lagak peribadi, bertemu lagak nurani namun tiada sekelumit sisa dendam

Biar sejarah disimpan erat dalam genggaman

Menuju maju tanpa hiraukan yang silam

Kerana

Yang berkuasa tidak semestinya fasih menghentam

Yang lemah tidak menerus kaku diam

Aksi tersedia sudah kalis dikecam

Mana mungkin akan terus dikritik malah diancam

Lantaran

Kesatuan hati membentuk kental jiwa mahupun jurusan ragam

Corak jaya landasan usaha yang dibangunkan seragam

Gah tersergam!

 

Khayalan mencipta hakikat

Seluruh jiwa raga dan taat setia disimpul rapi mengangkat peribadi adat

Berhasil menerbitkan disiplin diri demi rezeki yang berkat

Hormati masa hargai peluang bukan semata bermegah pangkat

Beramah, berdamai sesama insan memburu sepakat

Kerjasama, bertolak-ansur dek kecemerlangan sejagat

Sentiasa menjadi panduan teritip azimat

Memori indah itulah sentiasa terpahat

 

Kini, landasan usaha terbalas tenang

Akal bebas menjadi wadah visual ketika dikenang

Di situ lah penyelesaian agenda susah dan senang

Di situ tuntas sosial ruang dan peluang

Mencari nafkah di situlah nyata medan gelanggang

Lantas, zahir kenangan ini terselit seribu memori bertandang

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi