Diterbitkan pada 21 Mac 2024, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Wan Nur Sharmime Syuhada

Ramadan menjelma penuh berkah,

Rembulan terang bercahaya di langit biru,

Bintang bersinar seakan menyambut riang,

Meski dalam atma masih terselit noda,

Meski dalam sukma masih terasa jauh,

Harapan hijrah masih tersulam dalam diri.

 

Hijrah menyimpan seribu kata erti,

Yang dulunya jiwa penuh dunia,

Kini memilih zuhud di jalan Allah,

Yang dulunya hati penuh titik hitam,

Kini lafaz istighfar lazim di bibir,

Yang dulunya diri dibelenggu maksiat,

Kini cinta hakiki menjadi perjuangan.

 

Dalam gelap terpancar cahaya,

Dalam diam menanam tulus sedekah,

Dalam malam tahajud menjadi penyeri,

Dalam khusyuk solat menjadi penyuluh,

Memberi kemanisan dalam setiap ibadah,

Mencari pahala sebagai bekal akhirat.

 

Hijrah ramadan,

Suatu bait kata yang berat untuk setiap insan,

Suatu lafaz yang sukar untuk ditempuh,

Namun ramadan hadir sebagai perjuangan,

Tekad dan jihad tertaut erat di dalam jiwa,

Mencari hidayah menuju reda Ilahi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi