3 Mac 2024, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahasa kolokial seperti yang termaktub dalam Kamus Dewan Perdana (2021) merupakan bahasa yang bersifat bahasa percakapan atau bahasa basahan.

Hal ini dinyatakan oleh Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, YBhg Datuk Jaafar Sidek Haji Abdul Rahman dalam program Ruang Bicara Dinamika Bahasa Kolokial yang bersiaran secara langsung menerusi pelantar Facebook Bernama TV dan YouTube BERNAMA TV pada 29 Februari 2024.

Tambah beliau, bahasa kolokial bukan bahasa baku yang digunakan oleh sekumpulan orang dalam lokalisasi sosial yang sama dan tidak mengikut bahasa yang standard. Malah, sebutan bahasa kolokial difahami oleh kumpulan masyarakat yang menuturkan bahasa kolokial.

Usaha sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Arkib Negara Malaysia dalam mendokumentasikan kajian bahasa kolokial di Malaysia telah berjaya mengangkat jati diri penggunaan bahasa kolokial dan melestarikan bahasa kolokial di Malaysia.

Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, YBhg Datuk Jaafar Sidek Haji Abdul Rahman dalam program Ruang Bicara Dinamika Bahasa Kolokial pada 29 Februari 2024.

Menurut kajian Datuk Jaafar Sidek Haji Abdul Rahman, hasil pemerolehan taburan kawasan suku Melayu Banjar di Malaysia berdasarkan penggunaan bahasa kolokial suku Banjar di Malaysia terdapat pelbagai suku kaum di Malaysia yang menghasilkan khazanah bahasa kolokial dan bahasa sukuan.

Hakikatnya, khazanah bahasa kolokial dan bahasa sukuan jika tidak didokumentasikan akan lenyap.

Datuk Jaafar Sidek Haji Abdul Rahman turut menegaskan kepentingan bahasa kolokial dalam dunia pendidikan di Malaysia akan mengeratkan perpaduan guru dan pelajar di sekolah.

Tegasnya lagi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menjadi rakan strategik Kementerian Pendidikan Malaysia bersama Arkib Negara Malaysia demi melestarikan bahasa kolokial di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.