Oleh Norma Sanid
3 Mac 2024, 21:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sabah – “Sastera mempunyai peranan penting dalam pengembangan perwatakan anak kerana bacaan sastera yang imaginatif sangat bermakna dalam mengajar dan memberikan tuntunan moraliti.”

Sasterawan Negeri Sabah Kedua, Puan Azmah Nordin menjelaskan perkara tersebut dalam Bengkel Permuniaan Manuskrip Novel Kanak-kanak 2024, yang berlangsung selama dua hari bermula 2 Mac hingga hari ini bertempat di Sudut Penulis, DBP Cawangan Sabah.

Puan Halidah Arifin, seorang daripada peserta bengkel sedang mendapatkan bimbingan pemurnian manuskrip novel daripada Puan Azmah Nordin.

Bengkel Pemurnian Manuskrip Novel Kanak-kanak ini dibuat bertujuan untuk memurnikan manuskrip hasil daripada Sayembara Menulis Novel Kanak-kanak bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2022 yang lalu.

Manuskrip novel yang memenangi hadiah dalam sayembara tersebut antaranya termasuklah, Rama-rama Mengepak Sayap (hadiah pertama) karya Halidah Arifin; Budak Mata Air (hadiah kedua) karya Jamail Masador; Mustafa dan Layang-layang (hadiah ketiga) karya Mabulmaddin Shaiddin; dan penerima karya sagu hati, Janji Aisah karya Ramlah Janang, Derai Samudera Rindu karya Lydia Bungkak dan Zuyyin Hidayah karya Salbiah Sait.

Bimbingan secara tuntas oleh Puan Azmah Nordin telah membuka ruang dan peluang karya kanak-kanak tempatan mendapat tempat di hati pembaca sekali gus, mewarnai lagi dunia sastera di Sabah.

Yang turut  hadir dalam bengkel ini Timbalan Pengarah I DBP Cawangan Sabah mewakili Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin yang turut memberikan ucapan penutup dalam bengkel tersebut.

Puan Jennitah Noordin semasa memberikan ucapan penutup dalam bengkel tersebut.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.