Diterbitkan pada 29 Februari 2024, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pernah sesekaliku tertanya

bagaimana bumi tidak lelah

berputar dan berpusing,

taat mendampingi mentari

mengikut ketentuan alam

dalam lingkaran takdirnya.

 

Bagaimana manusia

lebih mengetahui isi gelap semesta

luas tak terhingga

daripada lautan di bumi,

terkandung khazanah rahsia,

penuh tanda tanya.

 

Tahukah engkau jantung

manusia sebesar penumbuk?

Giat berdegup

tidak henti walau sesaat

atau otak tidak pernah berehat

meski khusyuk dibuai mimpi?

 

Tahukah engkau lebih banyak pokok

daripada bintang-bintang bimasakti,

lebih banyak bintang seluruh semesta

daripada butiran pasir di bumi,

tapi masihku bingung terkedu

walau tahu beribu-ribu ilmu,

jelas dalam keliru.

 

Kenapa belum muak

melanggar perintah-Nya?

Kenapa belum mengenal diri

sudah mengerti sifat manusia?

Kenapa jiwa tidak tenteram

biarpun jasad rebah terlantar?

Kenapa cukup tidak terasa

walau kumiliki segala-galanya?

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi