21 Februari 2024, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perbincangan tentang teknik membaca buku telah diadakan di kedai buku Riwayat, Jalan Tun HS Lee pada Ahad lalu.

Buku popular How To Read A Book karya Mortimer J. Adler yang mula diterbitkan pada tahun 1972 dijadikan rujukan dalam perbincangan tersebut.

Fahroni Hamdan, salah seorang dari pengulas berkata bahawa perkataan mampu untuk mencipta gambaran baharu yang tidak mampu dilakukan oleh gambar.

“Kalau kita membaca sastera imaginatif, ia akan memberikan ruang untuk kita mencipta semula gambaran yang ditulis oleh pengarang. Kalau saya baca buku Harry Potter walaupun saya tidak menonton filemnya, barangkali saya dapat gambarkan yang lebih besar daripada filem itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, pembicara kedua, Nazir Harith Fadzilah berkata, sebenarnya Adler sudah memberitahu dalam bukunya bahawa karya-karya saintifik lebih mudah difahami sebagai bahan bacaan berbanding karya sastera imaginatif.

“Penulisnya sudah strukturkan penulisannya mengikut urutan berbanding bahan-bahan seperti sastera dan sajak.

“Sebab itu kita nampak ada isu sekarang yang mempersoalkan kefahaman berkenaan sajak. Mereka yang tidak faham itu maksudnya mereka tidak ada kapasiti untuk memahami karya-karya puitika,” katanya.

Nazir yang juga pengendali kedai buku Tinta Budi menambah, karya-karya puitika lazimnya memberikan kefahaman yang berbeza apabila dibaca buat kali pertama, kedua dan seterusnya.

Fahroni yang kini sedang melakukan kajian kedoktorannya di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menambah, struktur karya falsafah dan sastera imaginatif terdapat jurang perbezaan yang besar.

Ini terjadi disebabkan tujuan akhirnya untuk mengeluarkan retorik yang berbeza. Struktur paling berkesan dalam penulisan karya sastera apabila pembaca boleh rasa apa pengalaman yang ditulis dalam buku tersebut.

Sebagai rekod, sebahagian daripada buku How To Read A Book terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1989) pernah diterjemahkan oleh Rustam A. Sani dan prakatanya ditulis oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

Program yang berlangsung selama dua jam itu turut dihadiri sebanyak 30 orang peserta yang terdiri daripada pencinta buku dan juga merupakan siri kedua dalam siri Majelis Buku Svara yang dianjurkan secara bulanan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.