Oleh Putraery Ussin
16 Februari 2024, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Sebanyak 183 orang pelajar tahun satu dari 57 buah negara telah mengambil bahagian dalam Program Bicara Berirama dan Persembahan Puisi yang bertempat di Auditorium Albukhary International University (AIU), tempoh hari.

Objektif utama penganjuran program yang dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) melalui kerjasama Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dan Pusat Pengajian Perniagaan dan Sains Sosial (SBSS AIU) bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar luar negara tentang keperluan, keindahan dan kepelbagaian fungsi bahasa Melayu dalam kehidupan.

 Sebanyak 183 orang pelajar tahun satu dari 57 buah negara telah mengambil bahagian dalam Program Bicara Berirama dan Persembahan Puisi.

Program yang julung-julung kali diadakan ini dilihat mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para peserta dengan kesungguhan mereka yang berusaha  bertutur dalam bahasa Melayu. Aktiviti bicara berirama yang dipecahkan kepada sembilan kumpulan ini turut menampilkan persembahan baca sajak oleh Encik Faizal Mehat dan Encik Wan Mohammad Taufik Wan Mohd Kamal, serta bacaan lagu puisi oleh Puan Nur Ameera Nabila Azmi (Cikgu Meera) dan Puan Farahida Camelia Fadzil.

Dekan Pusat Pengajian SBSS AIU, Prof Dr. Nor Azilah Husin dalam ucapannya menjelaskan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa yang sangat mudah untuk ditutur oleh masyarakat. Beliau turut mengharapkan program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan sebagai ruang dan peluang yang boleh digunakan oleh pelajar dalam mendalami keindahan bahasa Melayu.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.