Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merasmikan program Malam Puisi Kemanusiaan 2024 pada 31 Januari lepas bertempat di Auditorium Utama, Hospital Kuala Lumpur.
Program malam puisi yang bertemakan “Degup Naluri dan Nadi Emosi” merupakan anjuran Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan College of Emergency Physicians Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Persatuan Penulis Nasional (PENA).
Program Malam Puisi Kemanusiaan ini merupakan tahun ketiga penganjurannya oleh HKL yang bermula pada tahun 2021 selepas pandemik COVID-19. Program yang menjadi jambatan antara sastera dengan sains ini bermatlamat untuk memberikan ruang ekspresi emosi dalam kalangan petugas perubatan yang berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang dalam memberikan perkhidmatan rawatan kepada pesakit.
Tema “Degup Naluri dan Nadi Emosi” yang dipilih pada kali ini untuk mengingatkan kepada semua insan agar menyemai semangat kemanusiaan dan terus berdegup, bernadi serta hidup dalam kalangan masyarakat.
Sebanyak 25 orang pemuisi dalam kalangan petugas perubatan termasuklah tiga pemuisi antarabangsa dari Indonesia, Filipina dan Hong Kong telah mendeklamasikan puisi hasil nukilan sendiri.
Pendeklamasian tersebut menggambarkan manifestasi emosi ketakutan, kesedihan, kemarahan dan harapan daripada petugas perubatan sekali gus memangkinkan semangat dan tekad untuk memberikan perawatan terbaik bersalut nilai kemanusiaan.
Program ini juga telah menampilkan persembahan deklamasi istimewa oleh tetamu yang diundang khas, iaitu YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datin Paduka Dr. Rohana Johan, Pengarah HKL, YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden PENA dan YBhg. Dato’ Rahman Shaari, Sasterawan Negara.
Menerusi ucapan perasmian, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang menyatakan harapan agar penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai pemangkin moral kepada petugas perubatan agar tidak jemu memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan menabur bakti untuk negara.
Selain itu, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada para pemuisi petugas perubatan kerana bakat dan keberanian dalam mencabar kemampuan diri untuk melakukan sesuatu di luar rutin kebiasaan.