8 Januari 2024, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Kanak-kanak perlu dilatih dan dibentuk dengan ilmu teater yang sempurna sejak daripada sekolah rendah agar kelak mereka mampu membawa watak yang baik dan menepati kehendak pengarah teater.

Hal ini dinyatakan oleh Setiausaha Persatuan Teater Alor Setar, Encik Mohd Zulkamal Ismail ketika menyampaikan Ucapan Alu-aluan bersempena dengan Bengkel Teater Kanak-kanak,  di Perpustakaan Awam Negeri Perlis Kangar, Perlis Darul Sunnah.

Tambah Encik Mohd Zulkamal, anak-anak ini perlu dibentuk sejak kecil agar mereka mampu membawakan watak yang diminta dengan menerapkan ilmu pengetahuan yang mereka ada berkaitan lakonan teater, agar mereka mampu menjiwai watak yang diberikan dengan baik suatu hari nanti.

Seorang daripada peserta cilik yang berjaya menamatkan penyertaan Bengkel Teater Kanak-kanak,  di Perpustakaan Awam Negeri Perlis Kangar, Perlis Darul Sunnah.

Sebanyak 20 orang peserta yang terdiri daripada kanak-kanak yang berusia antara enam hingga 12 tahun turut menyertai bengkel yang dianjurkan oleh Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) melalui kerjasama Perpustakaan Awam Negeri Perlis yang bertujuan untuk mendedahkan peserta muda tentang keseronokan teater kanak-kanak.

Asas ilmu teater ini dilihat amat penting dalam memastikan mereka (golongan kanak-kanak) dapat membina keyakinan diri dan membentuk peribadi berani melalui penyertaan bengkel yang secara tidak langsung dapat memberikan ilmu dan manfaat yang berguna.

PENTAS kini masih dalam usaha mencari pelapis yang berani dan berkeyakinan untuk diserapkan dalam bidang teater kerana setiap persembahan yang dianjurkan oleh pihak mereka merupakan satu peluang dan ruang yang terbaik dalam mengetengahkan bakat baharu yang terdiri daripada kanak-kanak dan juga remaja.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.