29 Disember 2023, 16:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penyanyi, komposer lagu puisi, penulis dan pelakon terkenal, Sani Sudin, penyair/pelakon terkemuka, Pyanhabib, pendendang syair, Dr. Shafa’atussara Silahudin, serta deklamator Dr. Sifuart Bebit, Lin Haslinaz dan Fairul Pujangga merupakan antara seniman yang tampil menjayakan “Nuansa Pasar Seni di Bawah Tiang Lampu 2” di Panggung Bandaraya DBKL pada 23 Disember lalu.

Kepuasan terbayang pada wajah setiap mereka yang menjayakan “Nuansa Pasar Seni di Bawah Tiang Lampu 2”.

Pelakon drama televisyen popular tanah air, Adam Lee turut diundang oleh penganjur bersama-sama Dr. Mohd. Zahuri Khairani, Moh Azam Rezali, dan artis yang sedang meningkat naik, Aniq Iffat.

“Nuansa Pasar Seni di Bawah Tiang Lampu 2” dianjurkan oleh Kelab Katarsis Seni dengan sokongan Yayasan Hasanah, Art For All Seasons (Artsfas), dan Kementerian Kewangan Malaysia, serta kerjasama Bleu Holdings dan Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba, UPSI.

Para pelajar UPSI memperoleh peluang keemasan menimba ilmu sambil beraksi dengan Sani Sudin.

Pementasan ini yang diadakan atas permintaan ramai ekoran kejayaan “Nuansa Teaterikal Pasar Seni di Bawah Tiang Lampu” tidak lama dahulu, memberikan manfaat besar kepada pelajar pengajian pengurusan seni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sambil ikut beraksi di pentas, mereka dapat menimba ilmu daripada “otai-otai” seperti Sani, Pyanhabib dan Dr. Sifuart. Umpama “sambil menyelam minum air”, mereka yang barangkali tidak pernah terfikir akan tampil sepentas dengan tokoh-tokoh tersebut, dapat menjadikannya sebagai pembelajaran dan kenangan abadi.

Salah satu persembahan menarik dalam “Nuansa Pasar Seni di Bawah Tiang Lampu 2”.

 

Program ini sememangnya memberikan impak positif kepada pelajar pengurusan seni UPSI yang turut bekerjasama mempromosikan seni dan budaya Malaysia dengan mengangkat seni, sastera, budaya dan pendidikan antara penggiat dengan penghayatnya.

Menurut Puan Dr. Norzuraina Mohd. Nor selaku Penerbit “Nuansa Pasar Seni di Bawah Tiang Lampu 2”, program ini bertujuan mengimbau sejarah seni di Malaysia, khususnya Kuala Lumpur pada tahun 1980-an di tapak warisan sejarah di Pasar Seni.

“Begitu pun, ia juga umpama ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, kerana ramai anak muda atau remaja hari ini kurang meminati seni, dan budaya tradisional,” tambah beliau yang juga Presiden Kelab Katarsis Seni.

Pyanhabib juga antara pengasas kegiatan baca puisi di bawah tiang lampu Pasar Seni Kuala Lumpur.

Dr. Norzuraina berpendapat dan yakin minat golongan muda terhadap warisan negara boleh dipupuk melalui pementasan program ini yang penuh dengan pengisian menarik dan pengajaran berguna.

Puan Dr. Norzuraina Mohd. Nor (tengah) selaku Penerbit “Nuansa Pasar Seni di Bawah Tiang Lampu 2” menyampaikan ucapan penghargaan.

Fairul yang mendeklamasikan sajak Telah Bangkit, karya Sasterawan Negara, Usman Awang adalah penulis skrip pementasan ini yang diarahkan oleh Dr. Eddie Hashim. Puan Nazihan Abdullah pula bertindak selaku Pengarah Program.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.