Oleh Nubailah Nasri
15 November 2023, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selangor – Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan kerjasama rakan strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menganjurkan Pertandingan Karnival Bahasa Melayu KPM – SPRM Peringkat Kebangsaan 2023 pada 11 November yang lalu.

Pertandingan ini diadakan bertujuan untuk membuka ruang dan peluang buat golongan muda mengetengahkan bakat pengucapan sastera mereka, selain memberikan pendedahan berkenaan bahasa dan sastera lisan kepada umum.

Pelbagai pertandingan kebahasaan yang telah berlangsung bersempena dengan Karnival Bahasa Melayu KPM – SPRM, antaranya termasuklah Pertandingan Dendangan Syair. Puteri Ainul Farisya Zuraimi (12 tahun) dari Sekolah Kebangsaan Sena, Perlis telah dipilih sebagai johan.

Puteri Ainul Farisya Zuraimi menerima hadiah bagi johan pertandingan.

Dengan bimbingan Encik Megat Mohd Noor, selaku pensyarah universiti tempatan dan guru pembimbing, Puteri Ainul Farisya tidak menyangka bahawa usaha yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil.

Puan Norhasimah, ibu kepada Puteri Ainul Farisya mengatakan bahawa anaknya amat meminati bidang nyanyian sejak kecil lagi. Setiap kali apabila gurunya meminta Puteri untuk mewakili sekolah dalam pertandingan syair, dia begitu teruja. Puteri mula belajar tentang lenggok irama yang terdapat dalam dendangan syair dan irama batu belah telah membawa tuah kepadanya.

Puteri Ainul Farisya Zuraimi bersama-sama dengan rakan sepasukan.

Beliau juga berpendapat bahawa melalui pertandingan ini, anaknya yang baharu berusia 12 tahun mampu mempelajari pelbagai irama dalam dendangan syair serta mengetahui pelbagai kaedah yang betul untuk mendendangkan syair.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.