15 November 2023, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pasir Gudang – Menzahirkan dua pementasan dalam satu masa melalui tugasan projek akhir subjek kesenian Sijil Pelajar Malaysia (SPM) bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi pementasan tersebut merupakan karya adaptasi yang diambil daripada naskhah klasik.

Bagaimanapun, Sekolah Seni Malaysia Johor (SSMJ) telah berjaya merealisasikan pementasan Bangsawan Siti Zubaidah dan Ratu Hikayat Patani sebagai pilihan naskhah bersempena dengan Minggu Pentaksiran Kesenian SPM 2023 yang dikendalikan sepenuhnya oleh calon SPM serta dinilai oleh panel penilai yang dilantik oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Salah satu babak dalam pementasan Bangsawan Siti Zubaidah.

Pementasan Bangsawan Siti Zubaidah merupakan saduran kisah klasik tentang Sultan Zainal Abidin yang ditawan oleh Maharaja China semasa dalam pelayaran untuk berdagang. Baginda meninggalkan Siti Zubaidah, isterinya yang dibenci oleh bonda mentuanya. Semasa dalam tawanan, Sultan Zainal Abidin hendak dikahwinkan dengan puteri Maharaja China sebagai syarat untuk bebas, namun baginda enggan. Keengganan tersebut menyebabkan baginda dicampak ke perigi beracun sehinggalah diselamatkan oleh Siti Zubaidah yang bijak berhelah.

Pementasan kedua berkisarkan tentang Ratu Hikayat Patani yang mengetengahkan tentang perebutan takhta dan percintaan antara Ratu Kuning dengan Raja Jala serta kemunculan Dang Sirat yang berusaha menggoda Raja Jala demi mendapat tempat di istana.

Melalui kedua-dua naskhah ini, kesan lakonan memperlihatkan sentuhan artistik pada lakonan dan pementasannya. Kesan pencahayaan, bunyi dan visual skrin multimedia menjadi faktor utama yang mendorong persembahan teater ini semakin menyerlah, ditambah dengan pemilihan kostum yang bersesuaian mengikut latar dan plot penceritaan.

 

Barisan calon SPM yang dinilai bersempena dengan Minggu Pentaksiran Kesenian SPM 2023.

Nur Iman Amirah Abdullah dan Putra Adika Hidayat Asmadi merupakan antara pelajar yang dinilai dan dipilih oleh panel penilai sebagai Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik. Manakala, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik disandang oleh Nur Damia Haninnah Abdullah dan Aliff Izwan Badrul Hisham dan Anugerah Pelakon Harapan Terbaik pula menjadi milik Nur Arifah Mohamad Bakhtiar.

Pengetua Sekolah Seni Malaysia Johor, Tee Tiam Chai berpendapat bahawa pementasan seumpama ini bukan sahaja dapat menggilap bakat pelajar bahkan bakal menjadi wadah yang akan membina karakter murid agar lebih berani ke hadapan, menjaga peribadi dan keterampilan serta mempunyai daya keyakinan diri yang tinggi.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.