26 Oktober 2023, 15:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada setiap sakat mencuit bahu,
mengganggu gelisah semakin resah,
dia setia di belakang menunggu bisu,
setiap langkah lancar menggelongsor,
nafasnya dihela pendek ditarik panjang,
berada sesak mengepung desak.

Jika kelibatnya jelas kelihatan,
aku hanya mampu menjeling benci,
tiada guna dendam disimpan,
tiada guna lidah ditikam,
gagal mencalarkan dan mengguris sakit,
dek terhiris hanyalah si penghunus.

Sesekali dia tertinggal legaran hidup,
khayal dalam kabut sibuk kewujudan,
sesekali juga hilang dia daripada pandangan,
terbuka ruang bebas rimas riang emas,
tapi tetap degil kembali dengan yakin,
memaut taat tulang tercekik pucat.

Dia berkhutbah arah bukan arah semata,
tetapi yang menentukan sesebuah hidup.
Barangkali berpaling kiri, aku menjadi dia,
berpaling kanan pula, dia bukan sesiapa.
Kadangkala keliru aku mengubah orientasi,
masih lagi tergopoh gapah mencari jalan.

Arah juga bukan batu tetap ubah tidak,
arah ialah arus tuju deras mengalir,
membengkok bercabang banyak,
aku ini sekadar remeh daun rapuh,
tentu tidak kekal pada di tempat kerap,
terapung merata tanpa destinasi pasti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.