Oleh Nubailah Nasri
6 Oktober 2023, 10:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perlis – Pada 2 hingga 5 Oktober 2023, berlangsungnya Pertandingan Syarahan dan Bercerita Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan.

Peserta bergambar kenangan dengan Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Lim Hui Ying.

Pertandingan anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ini adalah bertujuan untuk memberikan galakkan kepada murid-murid di SJKC dan SJKT menguasai serta mempertingkatkan tahap penggunaan bahasa Melayu.

Selain itu, pertandingan ini merupakan satu daripada cara untuk menggalakkan murid-murid bukan Melayu  bertutur dalam bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana, melalui bahasa juga, semangat perpaduan dapat dipupuk dalam kalangan murid pelbagai kaum.

Pertandingan tersebut terbahagi kepada dua kategori, iaitu syarahan dan bercerita. Adik Thaarani A/P Subramaniam dari Perak telah dinobatkan johan pertandingan bercerita. Untuk pertandingan syarahan pula telah dimenangi oleh adik Ray Ong Kaa Rui dari Selangor.

Pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Mohd Shaifulazhar Awang mengatakan bahawa walaupun pertandingan ini baru diadakan kembali setelah sekian lama terhenti disebabkan oleh pandemik, namun penyertaan yang diterima dalam kalangan pelajar sekolah sangat memberangsangkan. Seluruh negeri di Malaysia menghantar penyertaan termasuklah Sabah, Sarawak dan Labuan.

Majlis penutup pertandingan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Lim Hui Ying. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah dan Kemenjadian Murid, KPM, Ezaidi Husin dan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.