Oleh Putraery Ussin
27 September 2023, 11:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Ketil – Pada 25 September 2023, bertempat di Perpustakaan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah (UniSHAMS) telah diadakan Majlis Perasmian Festival Bahasa Jiwa Bangsa yang disempurnakan  oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim selaku Naib Canselor UniSHAMS.

Dalam ucapannya, beliau menyambut baik usaha Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dalam meningkatkan kesedaran generasi muda akan kepentingan bahasa dan sastera melalui penganjuran program sedemikian.

Dr. Asmadi menegaskan,

Kita perlu meletakkan kembali bahasa Melayu di persada dunia seperti yang telah dirancang ketika penetapan akta bahasa kebangsaan. Tiada jalan pintas untuk merealisasikan. Jadi generasi muda perlu diberi pendedahan tentang kepentingan tersebut.

Sehubungan dengan itu, YBhg. Prof Dato’ Dr. Asmadi sangat mengalu-alukan program sedemikian untuk diadakan di UniSHAMS.

Selama dua hari festival, pelbagai program diadakan khususnya bagi golongan muda, antaranya seperti Pertandingan Membaca Naskah Jawi Klasik, Resensi Buku dan Dendangan Syair.

Untuk menonjolkan bakat golongan muda, majlis perasmian dimulakan dengan persembahan dendangan syair oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Tawar, Baling, iaitu Mohd Khairul Amsyar Abd. Rahman.

Persembahan syair oleh Mohd Khairul Amsyar Abd. Rahman.

Seterusnya UniSHAMS juga memberikan penghargaan kepada pelajar yang meminjam buku terbanyak lelaki dan perempuan pada tahun 2023, sebagai penghargaan atas galakan membaca. Penerima hadiah galakan membaca tersebut ialah Muhammad Soffiyuddin Razali dan Ulya Shukri.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md Johari Hasan menyampaikan hadiah kepada Muhammad Soffiyuddin Razali sebagai penghargaan atas galakan membaca.

Selain itu, dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap bahasa dan sastera khususnya kepada generasi muda DBPWU dengan kerjasama UniSHAMS dan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) juga mengadakan program Bicara Karya buku penulis Negeri Kedah yang berjudul Antologi Tabung ke Neraka dan buku bersiri kanak-kanak Kisah di Belukar Luas. Juga buku-buku tersebut telah diluncurkan pada majlis perasmian tersebut oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim.

Program Bicara Karya.

Akhir sekali YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asmadi berharap usaha memartabatkan bahasa dan sastera perlu diteruskan dalam kalangan pelajar pada setiap masa.

Majlis tersebut turut diraikan dengan kehadiran Naib Censelor Universiti Antarabangsa Albukhary, YBhg. Prof. Datuk Abd. Aziz Tajuddin; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md Johari Hasan dan Pengarah DBPWU, Encik Armin Azhari Saleh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.