Oleh Nubailah Nasri
26 September 2023, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perlis – Industri teater tanah air di negeri Perlis semakin menyepi. Menyedari akan hakikat tersebut, maka Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) Perlis telah mengadakan pementasan teater GILA.

Pementasan ini telah diadakan selama dua hari bertempat di Auditorium Kompleks JKKN Perlis pada 23 dan 24 September 2023.

Usaha JKKN Perlis melalui kerjasama Pertubuhan Kesenian Sanggar Pujangga ini turut mendapat sambutan yang luar biasa daripada penonton yang hadir, sehingga ada dalam kalangan penonton yang terpaksa duduk di atas tangga untuk menyaksikan pementasan tersebut.

Sebahagian babak yang berjaya memukau penonton dalam pementasan teater GILA.

Mengangkat karya hasil nukilan Fairul Pujangga, teater ini menyelami kisah ahli persatuan orang gempak yang dianggap gila oleh masyarakat. Namun demikian, berbeza daripada ahli persatuan tersebut, mereka menganggap masyarakat di luar yang sebenarnya gila.

Teater ini cuba merungkai kebenaran penyebab di sebalik istilah gila yang dilabelkan masyarakat kepada mereka.

Kehebatan yang ditonjolkan oleh pelakon pada malam tersebut amat memukau dan sangat bertenaga. Ditambah pula dengan latar set yang menarik, pencahayaan yang menambah suasana membuatkan teater tersebut tidak membosankan.

Pementasan yang diadakan selama dua hari bertempat di Auditorium Kompleks JKKN Perlis pada 23 dan 24 September 2023 telah berlangsung dengan jayanya.

Usaha JKKN Perlis melalui Pertubuhan Kesenian Sanggar Pujangga secara tidak langsung mampu menjadi platform terbaik buat anak-anak muda berkarya dan mengisi masa lapang, serta dilihat dapat memartabatkan seni teater yang semakin terpinggir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.