Oleh Putraery Ussin
24 September 2023, 09:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kedah – Pada 23 September 2023, bertempat di Dewan Masjid Al-Shahab, Kepala Batas Jitra, telah diadakan Sayembara Deklamasi Puisi Maulidur Rasul Negeri Kedah 2023/1445.

Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) berkolaborasi menganjurkan sayembara tersebut dengan objektif untuk menghidupkan memori dan ingatan kasih sayang terhadap Rasulullah SAW.

Sudah acap kali ketika menyambut Maulidur Rasul, kita berselawat dengan bernasyid atau berpidato, jadi kali ini ASASI dah JHEAIK berusaha menarik minat generasi muda dengan cara yang baharu.

Peserta bergambar kenangan.

Sepanjang majlis sayembara tersebut, Dewan Masjid Al-Shahab bergema dengan alunan puji-pujian kepada Rasulullah SAW melalui pelbagai gaya dan cara oleh peserta muda yang terdiri daripada Nur Tasnim Syah (15 tahun), Muhammad Fazrif Haziq (19 tahun), Nur Amira Dayana (19 tahun), Muhammad Taqiuddin (23 tahun) dan Mohammad Afif Ikwan (19 tahun).

Sajak yang dipilih juga ternyata membawa penonton, terutama generasi muda lebih mengenali Rasulullah SAW, dan lebih penting terdapat pelbagai cara untuk mengingati usaha dan pengorbanan Baginda dalam menyebarkan Islam ke seluruh dunia.

Ternyata usaha tersebut berjaya apabila pada peringkat akhir daripada 8 orang peserta, 5 daripadanya ialah penyajak muda. Muhammad Afif Ikwan yang merupakan pelajar Institut Perguruan Guru Kampus Sultan Abdul Halim Shah (IPGKSAH) berjaya memenangi tempat kedua.

Lebih manis lagi, semua pemenang akan menerima hadiah pada 28 September 2023, iaitu hari sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah yang akan disempurnakan oleh DYMM Sultan Kedah.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Kanan) JHEAIK, Ustaz Hj. Mohd Isa Hj. Abdul selaku tetamu hormat dan perasmi majlis berkenaan mengatakan bahawa untuk memancing minat generasi muda mendalami sesuatu perkara, kita perlu mengikut cara orang muda. Dengan perkembangan media sosial seperti TikTok, Instagram, Facebook dan lain-lain golongan muda menyukai sesuatu yang mencabar seperti meniru, mencuba dan berkarya.

Maka itu, JHAEIK memberikan ruang kepada golongan muda dalam sayembara ini untuk meniru, mencuba dan berkarya dengan menawarkan hadiah yang lumayan, iaitu RM1000 untuk tempat pertama, RM700 tempat Kedua dan ketiga RM500.

Sehubungan dengan itu, Ketua 1 ASASI, Haji Abu Hassan Morad dalam ucapannya sangat berharap program yang penuh manfaat ini dapat dijadikan sebagai acara tahunan serta diperluaskan lagi dengan acara lain seperti melagukan syair serta sayembara menulis puisi dan cerpen.

Diharapkan JHEAIK, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta badan-badan lain dapat turut serta pada masa hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.