Diterbitkan pada 21 September 2023, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Rumah ini dibina bertahun-tahun lamanya

Bahkan dulu, rumah ini hanya mampu terpasang sebagai angan

Mustahil untuk dijelmakan dan dibangunkan

 

Merentas masa

Rumah ini perlahan-lahan berdiri

Berbekal semangat perjuangan yang menjulang tinggi

Kerap kali dilaung pahlawan dan perwira bangsa

Pemuda, pertiwi, anak-anak dan orang tua

Semuanya saling membanting keringat

Demi melihat rumah ini bisa berdiri sendiri

 

Dipasak tiang-tiang toleransi membentuk rangka

Tak hiraukan lagi kepentingan diri sendiri

Dijulang leluhur budi dan bakti menjadi atapnya

Mewariskan legasi yang tinggi akhlaknya dan kaya pekerti

Dimurnikan dengan kejujuran dan ketelusan sebagai lantainya

Agar bersih dari kedengkian dan pengkhianatan

Ditiup api semangat keberanian membaluti dindingnya

Semoga tak lut ditikam musuh durjana

 

Hari ini

Rumah ini lah yang memberi erti hidup bagi banyak jiwa

Rumah ini yang dulu cuma lakaran dan khayalan

Kini menjadi idaman dan warisan

Warisan Bangsa Malaysia

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi