Oleh Suria Janib
21 September 2023, 14:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Wujud jurang pemikiran yang ketara antara penulis muda dengan penulis veteran dalam dunia sastera moden sekarang. Hal ini diakui oleh barisan ahli panel dalam kalangan penulis muda menerusi rancangan Sembang Tamu Tunas Cipta secara langsung di media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), petang semalam.

Poster program Sembang Tamu Tunas Cipta.

Menurut pemenang Hadiah Sastera Selangor dan Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI), A. Muziru Idham, yang juga penulis dan pengkritik sastera, sejak tahun 2010 sudah berlaku perubahan besar terhadap gaya penulisan penulis baharu yang lebih gemar melakukan eksperimental.

A. Muziru Idham (kanan) sebagai panel, manakala Naim al-Kalantani (kiri) bertindak sebagai moderator.

Hal ini demikian kerana dipengaruhi oleh perkembangan dunia tanpa sempadan yang memudahkan interaksi budaya antara penulis serta mereka lebih terdedah terhadap perkembangan sastera yang lebih rencam jika dibandingkan dengan 10 tahun kebelakangan ini.

Katanya,

Jika kita hendak mengkaji gagasan penulis muda pada zaman 1960-an atau 1970-an, penulisan mereka lebih cenderung ke arah pembentukan nasionalisme, perjuangan kemerdekaan, perpaduan dan perkauman yang menjadi tema penulisan arus perdana ketika itu.

Beliau mengakui pada dekad ini, penulis muda lebih cenderung bereksperimen dengan karya mereka sehingga tiada kayu ukur untuk menilai gagasan yang dibawa oleh mereka.

Tambahnya, pada era penularan pandemik COVID-19, banyak karya yang terhasil memaparkan rasa resah atau takut terhadap pelbagai emosi kerana terperangkap dengan Perintah Kawalan Pergerakan. Selepas negara ini bebas daripada ancaman pandemik COVID-19, didapati karya penulis muda lebih bebas dan lebih kompleks.

Tiada kayu ukur yang tetap untuk mengukur gagasan penulis muda kerana pada era globalisasi ini mereka terdedah terhadap dunia luar tanpa perlu kita ke sana, maka hubungan penulis dengan budaya luar semakin rencam dan bereksperimen berdasarkan apa-apa yang dibaca dan dibincangkan dalam media sosial.

Seorang lagi ahli panel, S. Shoffi yang wajahnya pernah menghiasi muka hadapan Tunas Cipta Bilangan 9 2023 turut sependapat dengan A. Muziru Idham. Menurutnya,

Penulis veteran pada zaman sebelum dan pascamerdeka lebih menyentuh soal perjuangan serta pembinaan negara. Oleh itu, pembacaan atau perbicaraan tentang karya perjuangan pada masa ini agak tidak bersesuaian kerana penulis muda tidak melalui zaman tersebut. Perubahan terus berlaku kerana pembacaan penulis muda sekarang lebih meluas dan mengikut keadaan semasa.

Begitu juga ahli panel, Ruhaini Matdiri pemenang Hadiah Sastera Sabah juga mengakui bahawa memang berlaku jurang transisi penulisan karya tetapi tidak begitu ketara antara penulis veteran dengan penulis muda, iaitu penulis muda melalui fasa-fasa tertentu dari lima tahun lalu beranjak ke arah 10 tahun berikutnya untuk menjadi penulis prolifik, pengarang dan sasterawan.

Ruhaini Matdarin.

Katanya,

Dalam tempoh tersebut berlaku kecenderungan dalam penulisan yang dibentuk oleh tradisi, iaitu hubungan sosial, karya yang dibaca dan tokoh yang diikuti penulis muda.  Bagi membentuk gagasan penulisan, mereka perlu mempunyai idea, pemikiran dan suara yang mewakili zaman untuk menyatakan ketidakpuashatian, pergelutan atau keinginan untuk menonjolkan eksistensi mereka. Mereka cenderung untuk menjadi eksperimentalis atau moralis.

Menurutnya, penulis dahulu lebih ke arah pengkaryaan deduktif dan moralis. Selepas tahun 2011, kemunculan sastera Indie hingga tahun 2016, dan seterusnya kebelakangan ini sejak tahun 2019, karya penulis muda berkembang ke arah realisme baharu.

Selepas pandemik C0VID-19, penulis muda cenderung untuk mencari jati diri, mengungkap suara dari dalam diri sebagai penyembuhan dalam berkarya. Mereka berpijak sejenak di bumi yang nyata.

Bagi A. Muziru Idham, penulis muda berjaya memenangi sayembara anugerah sastera berbanding dengan penulis veteran. Anak muda berada pada zamannya, terutama pada zaman media sosial sekarang, maka anak muda lebih menguasainya.

Generasi muda sekarang mahu akan perkembangan semasa dalam berkarya. Karya bersifat romantis kampung, ketenangan di kampung atau kebudayaan sudah berubah, serta tidak lagi menjadi pilihan penulis muda. Hadiah sastera negeri yang dimenangi oleh penulis muda, bergantung pada julat penyertaan yang membawa suara generasi sekarang.

Sebagai penulis, Ruhaini juga mengakui penulis diuji dengan waktu untuk menghasilkan karya dan pengiktirafan. Waktu kemunculan buku terbit, penulis diuji dengan pelbagai ulasan dan kritikan. Pengiktirafan menerusi kemenangan sayembara anugerah sastera yang diterima oleh penulis muda sangat membantu untuk penulis terus dikenali, selain untuk menaikkan motivasi diri.

Sementara itu, bagi A. Muziru Idham untuk menjadi seorang penulis, mereka perlu meneruskan pembacaan karya klasik untuk mendapatkan bentuk atau gaya penulisan, memahami dan mencari tradisi ilmu kepengarangan. Katanya,

Penulis tidak boleh putus untuk terus membaca buku Hikayat Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah walaupun baca sekali seumur hidup untuk mendapatkan nuansa kepengarangan dan identiti penulis. Sastera klasik masih relevan kerana membantu membina estetika kepengarangan yang kuat dari sudut bahasa, budaya dan sebagainya sebelum berevolusi dengan bahasa moden. Untuk mewujudkan kepengarangan yang kuat perlu bermula dengan penghayatan sastera hikayat dan cerita mitos.

S. Shoffi.

Menurut S. Shoffi pula, media sosial menyumbang generasi seperti beliau untuk terus berkarya sejak tahun 2013, disebabkan kesempitan ruang untuk menulis. Capaian pembaca lebih luas jika menulis di media sosial.

Namun begitu, karya di media sosial terdedah kepada kritikan semua orang, kita boleh menerima kritikan tersebut jika baik, sekiranya kritikan yang menjatuhkan kita boleh menolak atau menyambutnya dengan baik. Kita perlu bersedia menerima kritikan dan pujian untuk penambahbaikan.

Rancangan Cakna Ilmu Sembang Tamu: Gagasan Baharu Penulis Muda ini dipengerusikan oleh Naim al-Kalantani, pegawai dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.