20 September 2023, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sarawak – Sayembara Penglipur Lara Moden Sekolah Menengah 2023 telah diadakan baru-baru ini di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak bersempena dengan Festival 60 Tahun Sarawak Maju Makmur.

Sebanyak 12 penyertaan yang melibatkan 21 orang pelajar dari sekolah menengah di sekitar kawasan Kuching, Serian dan Sarikei telah mengambil bahagian dalam sayembara ini.

Hadiah johan Sayembara Penglipur Lara Moden disampaikan oleh Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, diiringi oleh kedua-dua timbalan pengarah, Encik Ja’afar Haji Hamdan (kiri) dan Encik Abdul Rasid Subet (kanan).

Sayembara ini diadakan bertujuan untuk menyemarakkan semula kegiatan seni sastera penglipur lara selain mencungkil bakat pelajar dalam bidang penceritaan mengikut kreativiti masing-masing.

Penganjuran sayembara ini dilihat mampu menghidupkan semula seni penglipur lara yang semakin kurang dipersembahkan dan didedahkan kepada masyarakat, terutama dalam kalangan Generasi Z.

Sayembara ini juga diharap agar dapat meningkatkan kesedaran dan minat generasi muda terhadap kepentingan dan keindahan seni sastera penglipur lara.

Program ini merupakan langkah proaktif DBP Cawangan Sarawak dalam memastikan warisan budaya kita tidak hilang ditelan zaman dan tetap relevan di hati masyarakat.

Muhammad Eizzat Al Haieyy Abdul Khalil dari SMK Semerah Padi yang mempersembahkan cerita bertajuk “Andai Aku ialah Sehelai Baju Perwira” telah dinobatkan sebagai johan sayembara ini dan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM1000.

Naib johan pula dimenangi oleh Muhammad Afzan Hakimie Aziz dari SMK Sarikei Baru dengan cerita bertajuk “Andai Aku ialah Sungai Rajang”, manakala Aiman Hakeemi Baharuddin bersama-sama Islami Ismail dari Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah dengan cerita bertajuk “Raja Bersiung” menduduki tempat ketiga.  Masing-masing menerima hadiah sebanyak RM700 dan RM500.

Sementara itu, sembilan peserta yang lain mendapat sagu hati sebanyak RM200. Semua peserta sayembara ini menerima buku terbitan DBP dan watikah pengiktirafan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.