Oleh Nubailah Nasri
10 September 2023, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perlis – Mengetengahkan tema “Anak yang Baik lagi Cerdik”, SMK Derma berjaya menjadi johan pertandingan Ko-Akademik Bahasa Melayu Negeri Perlis.

Acara yang berlangsung pada 8 September 2023, bertempat di Dewan Syed Mahmood SMK Derma ini merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

SMK Derma johan pertandingan Ko-Akademik Bahasa Melayu Negeri Perlis. 

Objektif pertandingan ini diadakan adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar berkenaan dengan teknik penulisan skrip drama yang betul, di samping mencungkil bakat dan potensi pelajar dalam bidang lakonan.

Selain menjadi johan, SMK Derma turut menerima Anugerah Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita terbaik serta Sinematografi terbaik.

Drama yang berjudul “Anak Dot Dot Dot” telah membawa tuah buat pelajar SMK Derma, apabila kekuatan lakonan pelajar dilihat mampu memberikan saingan pada peringkat kebangsaan.

Guru pembimbing, iaitu Puan Atikaf Saad mengatakan bahawa untuk menghasilkan skrip bukanlah perkara mudah. Hal ini dikatakan demikian kerana konsep pada tahun ini berbeza daripada tahun sebelumnya.

Pada tahun ini, skrip perlulah dihasilkan sendiri berbanding sebelum ini hanya menggunakan buku teks Komsas sebagai rujukan. Namun demikian, beliau cuba untuk mempelajari teknik penulisan skrip drama dan bersyukur kerana usahanya memberikan hasil.

Komitmen yang diberikan oleh pelajar juga membuatkan beliau berasa gembira walaupun tempoh latihan yang diperuntukkan sangat singkat.

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Bakat dan Murid, Encik Shaifulazhar Awang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.