Oleh Nazrul Aziz
7 September 2023, 11:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Port Dickson – Kemenangan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abd Samad (SDASA) sebagai johan pada Pesta Pantun Sekolah Menengah Peringkat Daerah Port Dickson Tahun 2023 telah melayakkan mereka mewakili Port Dickson pada Pesta Pantun Sekolah Menengah Peringkat Negeri Sembilan.

Pertandingan yang berlangsung di SMK Bukit Saujana ini telah mempertemukan SDASA dengan SMK Tinggi Port Dickson untuk perlawanan peringkat akhir.

Jurulatih pasukan pantun SDASA, Cikgu Nurain Mohd Kamal mengatakan bahawa komitmen dan sokongan padu daripada guru dan pentadbir SDASA terutama pengetua, Tuan Haji Nor Saidi Jaafar merupakan antara pemangkin utama kejayaan pasukan ini.

Selain itu, latihan yang berterusan dan kerjasama daripada pemantun turut menjadi kunci kejayaan pasukan pantun SDASA. Walaupun anggota pasukan ini terdiri daripada pelajar tingkatan lima, namun mereka bijak membahagikan masa latihan dan sesi persekolahan.

Pasukan pantun SDASA dianggotai oleh lima orang pemantun, iaitu Nor Zeti Syahirah Hasmi, Nur Eka Hidayah Shahrudin, Izz Emilya Mohamed Fulizan, Nur Irsyad Zaharudin dan Adam Hafiz Mohd Zaiid.

Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abd Samad (SDASA) berjaya merangkul johan pada Pesta Pantun Sekolah Menengah Peringkat Daerah Port Dickson Tahun 2023.

Menurut Cikgu Nurain lagi, walaupun kelima-lima orang pemantun ini daripada aliran Sains, namun kecintaan mereka terhadap bahasa dan sastera berjaya membuktikan kebolehan mereka berpantun mengikut tema yang ditetapkan, dan kehebatan ini wajar diberikan pujian kerana mereka tidak mempelajari pantun secara formal.

Cikgu Nurain (tengah) selaku guru pembimbing untuk pasukan pantun SDASA bersama-sama peserta pantun.

Selain diumumkan sebagai johan pertandingan, dua lagi anugerah turut dirangkul oleh pasukan pantun SDASA. Antaranya termasuklah Anugerah Pemantun Terbaik yang dimenangi oleh Nor Zeti Syahirah dan Anugerah Keterampilan Terbaik yang dinilai dari sudut persembahan pantun pengenalan, busana dan tatarias setiap pasukan yang bertanding.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson dan dikelolakan oleh SMK Bukit Saujana ini membuktikan puisi tradisional tempatan tidak pernah luntur dan sentiasa diterima baik dalam kalangan generasi muda pada masa ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.