Oleh Putraery Ussin
4 September 2023, 13:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Kelab Royal Langkawi Yacht menjadi medan berkumpulnya penulis dari seluruh negara. Pelbagai acara turut diadakan selama empat hari, iaitu bermula pada 1 hingga 4 September 2023.

Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) melalui kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) telah dijemput untuk membicarakan karya Antologi Puisi Air Mata Permana yang menghimpunkan sajak penulis dari utara yang bertemakan inspirasi Palestin.

Satu daripada pengkritik muda sastera tanah air, iaitu Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamed yang diundang sebagai panel untuk mengulas karya tersebut. Beliau menegaskan bahawa dalam berkarya, terutama puisi; penyajak mesti berani mencuba sesuatu yang baharu serta ciptaan mereka itu harus terlahir daripada jiwa.

Antologi Puisi Air Mata Permana yang menghimpunkan sajak penulis dari utara.

Di samping itu, beliau turut memetik dua buah sajak yang terkandung dalam antologi tersebut untuk dijadikan sebagai contoh kepada generasi muda dalam menghasilkan karya yang bermutu.

Sajak tersebut, walaupun dihasilkan oleh penulis mapan, namun bait-baik dan kalimat yang dipilih adalah berjiwa muda serta segar.

Selain itu, beliau juga meminta agar peminat puisi, terutama orang muda perlu banyak membaca dan mendalami karya tempatan mahupun dari luar negara. Tujuannya adalah untuk mencari variasi dan mengetahui perkembangan sastera dunia.

Pengkritik muda sastera tanah air, Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamed (tengah) berkongsi hal menarik berkaitan dengan pandangannya terhadap Antologi Puisi Air Mata Permana.

Melalui cara tersebut, seseorang pengkarya dalam dunia sajak tidak akan ketinggalan dan terikut-ikut dengan cara serta gaya yang lama.

Mengakhiri slot bicara karya tersebut, beberapa orang penulis dan penyair muda ASASI seperti, Cikgu Meera (Nur Ameera Nabila) dan Syamel Hakim turut mendeklamasi sajak yang terkandung dalam buku Antologi Air Mata Permana.

Turut hadir memeriahkan acara, iaitu Ketua Pengarah DBPWU, Encik Armin Azhari Saleh dan Ketua 2 ASASI, Dr. Husairi Hussin serta Penaung dan Pengasas Langkawi Writers Festival, Puan Morne Hashim.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.