Oleh Putraery Ussin
30 Ogos 2023, 11:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Ketil – Pertemuan pada 29 Ogos 2023, bertempat di Bilik Mesyuarat Canselori Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) antara Ketua Editor Bahagian Buku Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu Encik Mohd Azam Juhari dengan ketua persatuan dan kelab UniSHAMS mengharapkan agar akan ada kebangkitan dalam kalangan orang muda untuk menghasilkan karya yang bermutu dan bermanfaat pada negara.

Encik Mohd Azam Juhari sedang memberikan taklimat berkaitan dengan aspek penerbitan DBP.

Pada pertemuan tersebut, Encik Mohd Azam telah memberikan taklimat berkaitan dengan aspek penerbitan DBP. Hasilnya, sesi soal jawab yang berlangsung selama dua jam itu menunjukkan bahawa yang kabur sudah menjadi jelas.

Hal ini dikatakan demikian kerana sebelum ini, mereka yang hadir berpandangan bahawa untuk menembusi penerbitan DBP adalah sangat sukar.

Di samping itu, Encik Mohd Azam menegaskan bahawa untuk mencapai sasaran negara maju, satu daripada elemen yang perlu dipenuhi oleh negara adalah melalui penerbitan buku. Tidak ada maknanya, sekiranya negara kita dihiasi dengan bangunan pencakar langit atau kenderaan terbang, tetapi kadar penerbitan buku tidak mencapai 1000 judul baharu untuk setiap sejuta daripada nisbah jumlah penduduk.

Lantaran itu, usaha yang lebih giat perlu dilakukan oleh setiap penerbit di negara kita. Atas rasa tanggungjawab itu, DBP mengorak langkah untuk mengadakan pertemuan dengan orang muda bagi mengajak mereka untuk sama-sama menerbitkan buku dengan DBP atau penerbit yang lain.

Selain itu, beliau turut memberikan contoh beberapa penulis, antaranya termasuklah Iddin Ramli yang berjaya menarik beribu-ribu pengunjung muda ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 baru-baru ini untuk mendapatkan buku beliau.

Persoalan tabu tentang buku fizikal tidak laku dan orang muda di Malaysia tidak membaca adalah tidak benar. Walhal, jika buku yang diterbitkan kena dengan cara dan gaya yang dikehendaki oleh pembaca, maka buku tersebut akan laris di pasaran.

Maka itu, orang muda khususnya pelajar di UniSHAMS seharusnya mencetuskan kebangkitan dalam penerbitan buku di negara kita.

Pada akhir taklimat, beliau mengharapkan agar ketua-ketua pelajar yang terdiri daripada Akmal Hakimi Suhardi (Naib Presiden Rakan Siswa YADIM), Muhammad Hasif Mohd Hasrin (Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa), Muhammad Iman Zulkifli Abdullah (Presiden Student Art and Culture Club), Tengku Abdul Hayi Raja Zainal (Presiden Kelab Bahasa Melayu), Raja Afnan Raja Badiozaman (Exco Akademik Ikatan Mahasiswa Al-Quran Usuluddin), Muhammad Afif Azhar (Exco Dakwah) dan semua yang hadir dapat merealisasikan hasrat murni tersebut.

Dr. Husairi Hussin (tengah) turut hadir pada pertemuan tersebut.

Turut hadir sama bagi menyokong hasrat tersebut ialah Ketua 2 Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), iaitu Dr. Husairi Hussin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.