Oleh Nazrul Aziz
24 Ogos 2023, 09:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Port Dickson – SK Kg Baru Si Rusa melakar sejarah di laman sendiri apabila dinobatkan sebagai johan dalam Pesta Pantun Sekolah Rendah Peringkat Daerah Port Dickson.

Pertandingan ini telah dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson dan diadakan di SK Kg Baru Si Rusa Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pasukan yang diwakili oleh lima orang murid, iaitu Hana Mustika Mohd Khairul, Muhd Isma Amar Hasif, Dania Aleesya Rosli, Muhd Razeen dan Muhd Faiz Izz Rizqin telah dilatih oleh guru pembimbing, iaitu Cikgu Razhata Taip dan Cikgu Badariah Bakar.

Adik Hana Mustika Mohd Khairul.

Bertambah manis apabila pasukan SK Kg  Baru Si Rusa ini telah menggondol dua lagi anugerah, iaitu Anugerah Pemantun Terbaik melalui pemantun mereka, Hana Mustika Mohd Khairul serta Anugerah Keterampilan Terbaik.

Anugerah Keterampilan Terbaik merupakan kategori baharu yang dipertandingkan dalam pesta pantun kali ini. Tujuan anugerah ini diperkenalkan adalah untuk menilai persembahan pantun pengenalan, busana dan tatarias bagi sesebuah pasukan pantun tanpa melibatkan markah keseluruhan pantun jual beli.

Objektif pesta pantun ini pula adalah untuk memupuk perpaduan dalam kalangan murid melalui pertandingan pantun, mengekal dan mengembangkan pantun serta seni berpantun sebagai khazanah puisi Melayu tradisional dan warisan bangsa, menggunakan daya fikir dalam berpantun dengan cepat, tepat, kritis dan kreatif, mengaplikasikan kemahiran berbahasa dalam menjual dan menjawab pantun serta membina keyakinan diri selain semangat bersaing secara sihat dalam pertandingan.

Pasukan pantun SK Kg Baru Si Rusa akan mewakili daerah Port Dickson pada pertandingan peringkat negeri yang akan diadakan nanti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.