31 Julai 2023, 18:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Pada 29 dan 30 Julai 2023, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM Kubang Kerian dengan kerjasama Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Bengkel Perolehan Manuskrip Novel Remaja Berserta Buku Bergambar Kanak-kanak dan Buku Informatif, di Bilik Tutorial A, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan USM.

Bengkel yang dihadiri oleh 30 orang peserta daripada staf akademik dan bukan akademik USM Kubang Kerian dan juga tenaga pengajar dari Kolej Vokasional Bachok ini diadakan untuk memenuhi keperluan manuskrip untuk khalayak remaja dan kanak-kanak dalam genre kreatif dan juga bukan kreatif.

Prof. Dr Nik Hazlina Nik Hussain.

Menurut pengarah program bengkel ini, Prof. Dr Nik Hazlina Nik Hussain, bengkel ini merupakan kesinambungan daripada kerjasama erat antara pihak DBP dengan USM Kampus Kesihatan yang telah bermula sejak tahun 2008.

Tambahnya lagi,

Penulisan dalam bentuk kreatif merupakan satu wadah yang berkesan untuk menyampaikan maklumat dan kesedaran masyarakat tentang hal-hal berkaitan dengan perubatan dan penyakit, selaras dengan visi dan misi USM, iaitu mendekati masyarakat menerusi pelbagai platform.

Bengkel ini dimulakan dengan taklimat oleh editor kanan dari Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Hendun Ibrahim yang menyebut secara jelas tentang fungsi kewujudan bahagian ini, iaitu untuk membina dan menerbitkan buku kanak-kanak dan remaja yang meliputi semua bidang dan genre karya kreatif, termasuklah buku informatif serta buku sokongan pendidikan yang dibina berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Turut memberikan penerangan ialah editor dari bahagian berkenaan, iaitu Noreena Zolkeplee yang berkongsi tentang proses penerbitan buku dan asas penilaian manuskrip yang dijalankan.

Menurut Noreena,

Terdapat beberapa perkara penting yang dijadikan asas untuk menilai sesebuah manuskrip iaitu kandungan manuskrip, gaya persembahan, bahasa, grafik/ilustrasi dan pasaran.

Kemudian, bengkel diteruskan dengan bimbingan penulisan novel remaja bertemakan  perubatan oleh Rozninah Abd Azib.

Beliau menegaskan konsep novel remaja bertema perubatan adalah untuk menyampaikan fakta, dan bukan auta kepada pembaca sasaran, iaitu pesakit/keluarga/perawat yakni doktor termasuklah bakal doktor atau pelajar perubatan, dan masyarakat umum dapat mengetahui kaeadah dan cara menangani kes pesakit.

Rozninah Abd Azib.

Tambah beliau lagi, terdapat 20 jenis atau tema novel remaja seperti patriotik, futuristik, sejarah dan lain-lain yang telah diterbitkan oleh DBP. Namun demikian, hingga kini masih belum ada lagi novel yang mengkhususkan tentang tema perubatan.

Oleh hal yang demikian, bengkel ini merupakan “perintis” dalam mengetengahkan tema perubatan.

Turut hadir ialah wakil dari DBP Wilayah Timur yang mengadakan jualan buku dan majalah DBP yang terkini dengan potongan harga yang menarik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.