Oleh Azrin Eddy
29 Julai 2023, 10:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bersempena dengan Bengkel Perolehan Manuskrip Buku Umum 2023, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah telah mengetengahkan tema kearifan tempatan.

Pembimbing bengkel, iaitu Profesor Dr. Roosfa Hashim mengatakan,

Tidak menjadi masalah bagi warga Sabah untuk menerbitkan buku yang berunsur kearifan tempatan kerana terdapat banyak bahan yang boleh ditulis antaranya seperti makanan, kraf tangan, busana, flora dan fauna serta tempat menarik.

Di samping itu, Profesor Dr. Roosfa turut memberikan galakkan kepada peserta untuk mendokumentasikan warna, citra dan kearifan tempatan di Sabah kerana kebanyakan buku yang berada di pasaran kini ditulis oleh orang Barat.

Profesor Dr. Roosfa Hashim merupakan Pengarah IIUM Press pernah menerima Anugerah Editor Terbaik daripada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan merupakan satu daripada panel hakim Anugerah Buku Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) 2010.

Profesor Dr. Roosfa membimbing peserta dalam mengembangkan topik penulisan buku.

Pelibatan beliau dalam dunia penerbitan buku bukan sahaja pada peringkat kebangsaan, malah peringkat antarabangsa.

Bengkel ini telah berlangsung selama dua hari, iaitu bermula pada 27 hingga 28 Julai 2023, bertempat di Sudut Penulis, DBP Cawangan Sabah.

Dr. Hj. Saat, peserta Bengkel Perolehan Manuskrip Buku Umum 2023 melontarkan pandangan beliau.

Sebanyak 17 orang peserta yang menghadiri bengkel ini. Mereka terdiri daripada pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) Keningau, IPGK Tuaran dan IPGK Gaya.

Objektif utama bengkel ini diadakan adalah untuk menggalakkan ahli akademik yang sudah mempunyai tesis PhD atau sekurang-kurangnya tesis sarjana dalam bahasa Melayu untuk menghasilkan buku umum berkaitan dengan kearifan tempatan Sabah.

Antara sesi pengisian ialah “Merombak Tesis Menjadi Buku”, “Rancangan Penulisan” serta “Bentuk dan Teknik Penulisan”. Peserta juga dapat menyalurkan buah fikiran mereka melalui pembentangan “Kertas Cadangan Judul”.

Puan Noorzanani Haji Kata menunjukkan cara mencipta akaun WadahDBP kepada peserta.

Ketua Unit Penerbitan DBP Cawangan Sabah, Puan Noorzanani Haji Kata turut memberikan taklimat berkaitan dengan “Tunjuk Cara Penggunaan Portal dan Perolehan WadahDBP” kepada peserta bengkel.

Taklimat ini dilaksanakan bagi menggalakkan penulis tempatan agar menghantar karya mereka untuk diterbitkan dalam portal WadahDBP. Menurut beliau lagi, peserta boleh mengolah bahan yang sedia ada dalam bengkel ini dan menghantar sebagai artikel di portal WadahDBP.

Menurut satu daripada peserta bengkel, beliau mengucapkan tahniah kepada DBP Cawangan Sabah kerana berjaya mengadakan bengkel yang berimpak tinggi seperti ini dan harapan peserta lain juga agar bengkel ini dilaksanakan secara berterusan. Tujuannya adalah untuk membolehkan peserta menghasilkan manuskrip yang tuntas, seterusnya berjaya diterbitkan oleh DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.