Oleh Putraery Ussin
26 Julai 2023, 12:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kubang Pasu – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena 2, berbesar hati menerima delegasi penulis daripada Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) kerana sudi berkampung dan menyampaikan ceramah penulisan serta mengadakan pameran dan jualan kepada pelajar dan guru di daerah Kubang Pasu.

Peristiwa bersejarah pada 25 Julai 2023 ini diharapkan dapat memberikan impak yang bernilai kepada pelajar untuk menjadi penulis pada masa akan datang. Selain itu, pengetua sekolah SMK Pokok Sena 2, Puan Nor Sakula@Nor Sakila Zukhi selaku tuan rumah juga sentiasa bersedia untuk meneruskan program penulis sebegini pada masa hadapan.

Program yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar ini dihadiri oleh beberapa orang penulis prolifik ASASI seperti Wildan Haya, Ibnu Din Assingkiri, Wadiassofi Jaafar, Hamizun Syah, Zaleena Ahmad, Putraery Ussin serta Ketua 1 Asasi, Tuan Haji Abu Hassan Morad.

Antara aktiviti yang diadakan adalah jualan buku.

Selain pameran dan jualan, penulis ASASI juga mengadakan sesi temu mesra bersama-sama peserta program dengan pelbagai aktiviti menarik.

Melihat akan kegigihan peserta sebanyak 114 orang yang terdiri daripada pelajar dan guru sekolah di Daerah Kubang Pasu seperti SMK Pokok Sena 2, SM Sains Pokok Sena, SMK Bukit Payong dan SMK Jabi, Pegawai Pendidikan Pembangunan Bakat Murid, Mohd Hafiz Zakaria berharap lebih banyak program memacu minda kreatif sebegini bakal diadakan.

Bahkan, beliau berhasrat untuk mengadakan program begini pada peringkat negeri Kedah untuk memberikan peluang kepada lebih banyak pelajar pada masa akan datang.

Usaha murni pegawai pendidikan tersebut disambut baik oleh Ketua 1 ASASI, Tuan Haji Abu Hassan Morad yang menegaskan bahawa ASASI dan ahli-ahlinya sentiasa berlapang dada menyediakan penulis untuk berkhidmat kepada negeri yang tercinta ini.

Kedah yang terkenal dengan sasterawan, sudah pasti mahu lebih banyak karyawan dari negeri Kedah mengharumkan dunia sastera negara dengan karya yang bermanfaat kepada agama dan bangsa.

Sehubungan dengan itu, Encik Zainal Abidin selaku wakil DBPWU menyambut baik program sebegini dan akan sentiasa menghulurkan bantuan dan sumbangan yang diperlukan oleh pihak penganjur.

Maka itu, beliau berharap ceramah oleh Puan Wildan Haya, Ibnu Din Assingkiri dan Putraery Ussin ini diharapkan dapat memberikan inspirasi dan hala tuju kepada pelajar, yakni penulis muda bahawa dunia penulisan mempunyai masa depan yang sangat cerah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.