Oleh Putraery Ussin
16 Julai 2023, 18:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – pada 15 Julai 2023, bertempat di Dewan Seminar Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) sebanyak 60 orang pelajar daripada pelbagai pengkhususan telah mengikuti sesi bual bicara dan bengkel penulisan kreatif yang dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Cawangan Kedah (YADIM) bersama-sama Persatuan Pendidik UUM.

Program anjuran YADIM ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dalam kalangan siswa dan siswi universiti di negeri Kedah yang berminat untuk menceburi bidang penulisan, terutama dalam genre cerpen dan novel remaja.

Sehubungan dengan itu, penceramah jemputan yang terdiri daripada penulis kreatif genre remaja, Putraery Ussin dihujani dengan soalan tentang peluang dan ruang kerjaya sebagai penulis di negara kita.

Putraery Ussin (dua dari kanan) sebagai penceramah.

Menurut Putraery Ussin yang sudah mula menulis ketika belajar di USM pada tahun 1990-an menjelaskan bahawa dahulu peluang menulis adalah sangat terhad. Selalunya segala yang ditulis oleh beliau, lebih kepada menjadi simpanan dan tatapan sendiri.

Namun begitu, semua penulisan tersebut yang sudah disimpan lama dibaiki dan diberi nafas baharu kini dan berjaya menembusi majalah tempatan seperti yang terdapat dalam Kumpulan Cerpen Remaja Bebalin. Jadi beliau menegaskan agar pelajar menulis setiap peristiwa menarik yang berlaku dalam kehidupan mereka untuk dijadikan cerpen atau novel kelak.

Isu klise, curhat (curahan hati) serta takut dalam cerita yang dianggap tidak menarik perlu dibuang. Hal ini disebabkan kisah atau cerita yang menarik atau tidak itu bersifat subjektif. Semuanya terletak kepada khalayak dan minat pembaca masing-masing. Barangkali cerita yang tidak disukai oleh seseorang itu akan diminati oleh orang lain. Perkara ini telah terjadi kepada novel Suar Hati yang tewas dalam beberapa sayembara, tetapi akhirnya menang di hati pembaca apabila sudah dicetak sebanyak tiga kali.

Seterunya, Putraery Ussin menegaskan dari aspek yang perlu ada dalam diri penulis baharu atau seseorang yang baru hendak menceburi bidang kreatif adalah segera menulis. Kemudian apabila sudah ada cerita atau kisah yang dituliskan, maka mulalah mencari guru untuk menulis secara serius. Itulah yang beliau telah lakukan.

Program yang berlangsung secara santai bermula pada pukul 2.30 petang hingga 10.30 malam itu turut dihadiri oleh Presiden Rakan Siswa YADIM (RSY) Kedah, Amirul ‘Asyaraf Ahmad Khushairi, Presiden RSY UUM, iaitu Mohamad Syamil Ulwan dan RSY UiTM Merbok, iaitu Muhammad Amir Haikal serta Akmal Hakimi Suhardi selaku penyelaras program dari RSY Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Syah (UniSHAMS).

Semua pelajar yang terdiri daripada Rakan Siswa YADIM (RSY) di seluruh negeri Kedah berkumpul dalam Program Mega Pesta Ilmiah di UUM, Sintok berasa puas dan bersemangat untuk menghasilkan karya dalam genre remaja. Hal ini diakui oleh Izzah Amelia Kaswadinata selaku Presiden Persatuan Pendidik UUM dalam ucapannya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.