Oleh Nazrul Aziz
6 Julai 2023, 10:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan  20/30  yang dilancarkan pada 13 Februari 2020 serta Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam,

… Agensi kerajaan bersama-sama pegawai hendaklah memastikan penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor perkhidmatan awam dilaksanakan dengan betul dalam semua urusan rasmi sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan.

Dalam menyahut usaha ini, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam akan menganjurkan Pertandingan Gegar Pidato Piala Pusingan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) buat kali kelapan pada tahun 2023.

Akademi Pidato Perkhidmatan Awam Tahun 2023 pada kali ini mengangkat tema Mengangkasa Aspirasi Malaysia Madani yang berlangsung pada 4 hingga 7 Julai 2023.

Pertandingan ini merupakan satu wahana untuk membina jati diri, mencungkil bakat berpidato dan meningkatkan penguasaan bahasa Kebangsaan dalam kalangan penjawat awam dalam rangka meningkatkan daya saing dan memacu pembangunan kapasiti modal insan dalam perkhidmatan awam.

Sebelum Pertandingan Gegar Pidato Piala PKPPA ini membuka tirai, sebuah akademi khas yang diberi nama Akademi Pidato Perkhidmatan Awam Tahun 2023 telah diwujudkan bagi peserta untuk memperkasakan elemen bahasa, penyampaian dan penulisan teks pidato.

Akademi yang bermula pada 4 hingga 7 Julai 2023 ini telah diadakan di Intan Bukit Kiara dan disertai sebanyak 21 penjawat awam dari seluruh Malaysia dan meliputi setiap lapisan gred dan jawatan.

Mengangkat tema “Mengangkasa Aspirasi Malaysia Madani” bagi tahun ini, antara pengisiannya ialah pembinaan teks berkesan, seni retorik, trajektori penyampaian berkesan serta penekanan dari aspek bahasa dalam penyampaian.

Dalam setiap slot pengisian ini, peserta akan dibimbing oleh pemidato kebangsaan yang berpengalaman dalam bentuk kuliah dan tutorial.

Peserta akademi pidato merakam kenangan pada hari pertama akademi bersama dengan jurulatih.

Selain penekanan dari aspek penyampaian pidato berkesan, peserta akademi turut ditekankan dengan penggunaan bahasa Kebangsaan yang baik, terutama dari sudut komunikasi yang berkesan.

Pada penghujung akademi ini, 10 pemidato terbaik akan bersaing di atas pentas separuh akhir untuk mencari lima pemidato terbaik yang akan bertanding pada Pertandingan Gegar Pidato Piala PKPPA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.