27 Jun 2023, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – Dalam usaha melahirkan lebih banyak bakat dalam bidang penulisan skrip drama pentas dan teater, maka Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka telah menganjurkan Bengkel Asas Penulisan Drama Pentas Siri 1, di Dewan Tun Seri Lanang, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka.

Barisan peserta Bengkel Asas Penulisan Drama Pentas@Teater Siri 1 yang berlangsung di Dewan Tun Seri Lanang, JKKN Melaka.

Sebanyak 20 orang peserta yang terdiri daripada individu persendirian, guru sekolah dan sebahagian artis budaya tarian turut terlibat dalam persembahan teater muzikal yang dibimbing oleh penceramah dari JKKN Melaka, iaitu Encik Mohd Isa Maarof yang berpengalaman luas dalam bidang penulisan drama dan teater tempatan. Kongsinya,

Tujuan utama bengkel ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda negeri Melaka khususnya bidang penulisan skrip drama pentas. Selain memberikan ruang dan peluang kepada peserta muda untuk berkongsi idea dan pengalaman daripada rakan penulis sedia ada.

Tambahnya,

Pada siri pertama ini, peserta telah diberi pendedahan teknik penulisan yang betul dan berkesan menurut trend dan permintaan semasa dalam pementasan drama dan teater tempatan. Selepas memberikan penerangan lengkap mengenai asas penulisan skrip tersebut, peserta akan dibahagikan mengikut kumpulan untuk membuat Latihan Dalam Kelas (LDK).

Mohd Isa Maarof berkongsi ilmu dan pengalaman beliau mengenai asas penulisan drama pentas dan teater kepada peserta.

Pembentukan LDK ini secara tidak langsung dapat mengenal pasti bakat dan potensi diri yang ada dalam diri peserta, selain bertujuan untuk memberikan keberanian dan keyakinan untuk mencari, membentuk dan mengembangkan sinopsis cerita sekali gus membina skrip drama pentas.

Bengkel Asas Penulisan Drama Pentas yang diketuai oleh Pegawai Projek JKKN Melaka, Puan Norazlina Othman yang dijalankan secara bersiri dan percuma kepada peserta itu akan diteruskan pada bulan hadapan dan penyertaannya masih terbuka kepada mereka yang berminat dalam bidang penulisan skrip drama pentas dan teater.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.