Oleh Nazrul Aziz
24 Jun 2023, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pada 23 Jun 2023, bertempat di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara telah diadakan Bengkel Penulisan Kreatif anjuran INTAN, Persatuan Pegawai Tadbir Diplomatik (PPTD) dan Koperasi Penulis Nasional Berhad (KOPENA).

Poster program.

Bengkel ini diadakan bersempena dengan Karnival Gala Budi, Bahasa dan Budaya INTAN Tahun 2023.

Urus setia bengkel, iaitu Encik Mohamad Ikhwan Al-Syahid mengatakan bahawa bengkel ini dianjurkan antara lainnya bermatlamatkan untuk mencungkil bakat penulisan kreatif dalam kalangan penjawat awam serta mendedahkan selok-belok penerbitan swaterbit, sekali gus membentuk budaya dalam kalangan penjawat awam yang berbudi tinggi seiring dengan hasrat negara membina masyarakat madani.

Bengkel yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KOPENA, iaitu Encik Khairul Naim Abdul Wahab ini telah dihadiri oleh penjawat awam daripada pelbagai gred, jawatan dan kementerian.

Taklimat oleh Encik Encik Mohamad Ikhwan Al-Syahid.

Peserta bukan hanya tertumpu kepada mereka yang telah lama berkecimpung dalam bidang penulisan kreatif, tetapi turut melibatkan individu yang baharu berjinak-jinak untuk mengenali dunia penulisan kreatif.

Bengkel ini dibahagikan kepada empat sesi, iaitu pengenalan kepada cerpen, teknik asas menulis, menulis ikut cara saya dan latihan menulis cerpen.

Pada awal bengkel, peserta telah diperkenalkan dengan pengenalan asas kepada cerpen. Antaranya definisi dan pengertian cerpen, fungsi cerpen, ciri-ciri cerpen, struktur cerpen dan sifat cerpen.

Selain itu, peserta didedahkan dengan teknik untuk mencari idea, mengembangkan idea serta menggarap idea supaya dapat menghasilkan sebuah cerpen yang baik dan dapat menarik perhatian pembaca.

Tiga proses utama dalam penulisan, iaitu proses sebelum menulis, proses semasa menulis dan proses selepas menulis telah dikongsi dengan baik oleh penceramah jemputan. Proses ini perlu dilalui oleh penulis dalam memastikan karya yang dihasilkan lebih bermutu.

Sesi perbincangan dalam kumpulan turut diadakan untuk membolehkan setiap peserta meluahkan idea serta membincangkan idea masing-masing sebelum memulakan penulisan cerpen.

Penghujung bengkel, setiap peserta diberikan tugasan untuk menyiapkan sebuah cerpen yang bertemakan “Sungkur”. Cerpen yang dihasilkan oleh peserta akan diterbitkan dalam bentuk antologi dan bakal dipasarkan untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.